11 Disember 2021

Polis Kelantan kutip RM1.48 juta dalam dua hari

 Orang ramai berurusan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Orang ramai berurusan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Kontinjen Kelantan mencatatkan kutipan RM1.48 juta sepanjang dua hari penawaran diskaun 80 peratus bagi saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sejak 9 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata jumlah yang direkodkan sehingga semalam itu membabitkan 26,618 saman.

Beliau berkata, tunggakan saman untuk sepanjang tahun ini sahaja mencecah 84,094 daripada 121,606 keseluruhan saman yang dikeluarkan yang mana hanya RM321,010 sahaja yang sudah dibayar.

"Untuk pembayaran saman trafik yang bermula kelmarin, kesalahan yang paling banyak dikesan ialah memandu melebihi had laju diikuti kesalahan berhubung dengan lesen sama ada tiada lesen, tamat tempoh atau tidak membawa lesen memandu.

"Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan saya sudah mengarahkan urusan yang berkaitan di kaunter semua Ibu Pejabat Daerah (IPD) yang dibuka sehingga jam 4 petang diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di IPD Kota Bharu di sini memantau urusan berkaitan pembayaran dan semakan saman yang berlangsung.

Beliau berkata, untuk kelancaran urusan, orang ramai juga boleh berurusan di mana-mana kaunter trafik daerah dan tidak memfokuskan IPD yang dikenal pasti menjadi tumpuan bagi mengelakkan kesesakan.

Beliau berkata, daripada pemerhatian individu yang berurusan bukan hanya menyelesaikan satu saman sebaliknya ada yang datang membawa sehingga 50 saman untuk diselesaikan.

"Biasanya ada saudara mara yang mengirimkan saman mereka untuk dibayar kerana enggan menunggu atau beratur dan langkah ini dilihat sangat baik kerana boleh mengelakkan kesesakan," katanya.

Seorang kakitangan swasta, Rohana Nawi, 56, yang ditemui di pekarangan IPD Kota Bharu di sini, meluahkan rasa lega kerana hanya menghabiskan RM280 untuk tujuh saman atas kesalahan memandu melebihi had laju.

Dia yang pada asalnya datang ke IPD Kota Bharu itu untuk membuat semakan saman agak terkejut dengan makluman mengenai saman itu yang dicatatkan sejak tiga tahun lalu.

"Walaupun tidak pasti siapa yang memandu kereta saya sehingga melebihi had laju itu tapi sekurang-kurangnya jumlah bayaran yang dibayar hari ini berkali ganda lebih murah daripada harga asal," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: