11 Disember 2021

Kenangan sempena Sambutan 70 tahun penubuhan PAS

 

Oleh DR NAJAHUDIN LATEH

30 tahun lalu, tepatnya pada 20 hingga 21 September 1991, PAS mengadakan Sambutan Perayaan 40 tahun parti ini. Sebelumnya, sejak 18 Disember sudah diadakan Ekspo Perdagangan Islam dan Pameran 40 Tahun Perjuangan PAS.


Sambutan tersebut diadakan di Muassasah Darul Ulum, Kuala Nerang, Kedah dan dirasmikan oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor, Yang Dipertua PAS Pusat. Sambutan tersebut sangat meriah, diadakan di peringkat awal di seluruh negara, serentak pula dengan sambutan Maulid Rasul SAW yang sinonim diangkat ketika berumur 40 tahun.

Daripada negeri-negeri, kemuncaknya acara dibuat di tanah yang pernah dirampas oleh kerajaan parti lawan ketika itu, kini sebahagiannya menjadi kolej pengajian Islam, suatu yang diilhamkan oleh Ustaz Fadzil, yang jasadnya juga berada di bumi tersebut.

Ketika itu banyak aktiviti dilakukan. Siang dan malam. Siang popular dengan acara santai dewan-dewan. Malam dilengkapi dengan ceramah dan pidato, pimpinan dalam dan luar negara, ahli politik, NGO dan pakar sejarah. Semuanya bersemangat meraikan usia perjuangan PAS dalam mengangkat hukum Allah SWT dan Islam.

Namun, ketika itu Kedah dilanda hujan lebat. Sangat lebat. Suasana jalan kurang selesa. Kereta tidak boleh masuk. Berjalan kaki pula lumpur mencapai betis, mencecah lutut. Namun, ahli dan penyokong PAS berduyun-duyun hadir setiap hari. Meraikan dengan penuh gembira.

Ketika itu telefon bimbit jarang digunakan. Facebook belum lahir. WhatsApp tiada dalam mimpi. Hebahan melalui akhbar Harakah dan dari mulut ke mulut. Namun, kehadiran manusia sangat mengkagumkan. Semua jantina, miskin kaya, tua muda, semuanya ada untuk mengingati tarikh 23 Ogos 1951 tersebut.

Aku ketika itu baru meningkat remaja. Jiwa anak muda. Ketika itu itu aku tertarik dengan dua acara. Sebelah pagi menelaah poster dan bahan bacaan tentang sejarah PAS, juga meneliti satu persatu ‘cover’ Harakah sejak diterbit tahun 1987, satu-satunya akhbar sumber utama informasi ahli PAS terutama bagi kami, anak kampung.

Satu lagi, aku tertarik dengan aktiviti di kawasan belakang tanah 35 ekar estet Cina yang berjaya dibeli oleh ahli PAS itu. Di situ, ada banyak acara Unit Amal, daripada berkawad berkhemah hinggalah memanjat bukit. Ketika itu, kebanyakannya ahlinya berbaju hijau Camel yang banyak dijual di Pekan Sadao, sempadan Bukit Kayu Hitam, tidaklah semeriah warna ‘maroon’ yang nampak perkasa pada hari ini.

Walaupun begitu, aktiviti mereka di situ sangat meriah. Untuk rekod, Unit Amal baharu sahaja ditubuhkan 9 bulan sebelum itu, dalam Jambori Amal pertama seramai 851 ahli yang diadakan pada 14 hingga 16 Februari 1991 di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Kini aku kembali ke Kuala Terengganu. Fokus kali ini di Pulau Wan Man. Di situ, di Taman Tamadun Islam diadakan Sambutan 70 Tahun PAS selama dua hari, 11 hingga 12 Disember 2021.

Pagi ini walaupun letih, aku memandu dari Shah Alam ke sana untuk menggamit kenangan. Dulu pembangkang, kini semuanya sudah jadi kerajaan. Harap ramainya sama, meriahnya sama. – HARAKAHDAILY 11/12/2021

Tiada ulasan: