11 Disember 2021

Komet menghampiri Bumi paling jelas kelihatan esok

 

Komet itu dijangka terbang paling hampir dengan Bumi pada 12 Disember (esok). - iStockphoto

LONDON – Penduduk di beberapa kawasan seluruh dunia berpeluang menyaksikan dengan mata kasar lintasan komet yang digelar sebagai ‘komet paling terang yang boleh dilihat pada tahun ini’ pada keesokan hari, lapor akhbar Mirror UK semalam. 
Peristiwa itu dilaporkan hanya akan berlaku sekali seumur hidup kerana komet digelar Leonard itu tidak akan melintasi Bumi selama 80,000 tahun akan datang. 

Batu angkasa yang telah melakukan perjalanan selama 35,000 tahun itu turut dijangka hancur pada Januari 2022 apabila melintas melepasi Matahari.

Komet yang sedang menuju ke arah Matahari itu dijangka berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi esok pada jarak purata 34 juta kilometer.

Bagaimanapun, penduduk dari negara lain turut berpeluang melihatnya termasuk di Amerika Utara pada 14 Disember.

Dalam pada itu, menurut Agensi Angkasa Malaysia, komet Leonard dapat dilihat di langit Malaysia pada kedudukan rendah di ufuk timur laut sebelum matahari terbit mulai 7 Disember lalu hingga esok.

Ia akan kelihatan di ufuk barat daya sejurus selepas matahari terbenam mulai 13 Disember 2021 hingga penghujung Januari 2022. – Agensi

Tiada ulasan: