11 Disember 2021

Bola sepak sawah jadi tarikan baharu di Negeri Sembilan

 

AMINUDDIN Harun turut beraksi dalam Pesta Bola Ngoca di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

KUALA PILAH:  Penganjuran acara bola sepak sawah berpotensi untuk menjadi tarikan baharu untuk orang ramai mengunjungi Negeri Sembilan khususnya daerah ini.

Ia selepas sebuah tapak aktiviti bola sawah dikenali sebagai Stadium Bola Ngoca dibina di Kampung Budaya Terachi di sini dan kejayaan penganjuran Pesta Bola Ngoca.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penyertaan menggalakkan sehingga 128 pasukan mengambil bahagian merupakan petanda baik untuk sukan itu dan beberapa sukan rakyat lain akan menjadi tarikan baharu di negeri ini.

“Ini merupakan petanda baik untuk Pesta Bola Ngoca ini diteruskan dan menjadi acara tahunan termasuk pertandingan memanjat tiang licin dan memukul bantal dan menangkap ikan.

“Semoga apa yang kami bangunkan akan menjadi tarikan rakyat setempat termasuk pelancong luar bagi melihat sendiri acara tradisi unik seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bola Ngoca di Perkampungan Budaya Terachi, di sini hari ini. 

Sementara itu, Aminuddin menjelaskan, Kampung Budaya Terachi juga telah dibangunkan sebagai tempat tarikan makanan tradisional dengan kerja menaik taraf dilaksanakan.

“Dengan adanya projek membaik pulih dan menaik taraf maka kawasan ini akan menjadi tumpuan para pelancong sekali gus merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, tapak penganjuran Pesta Bola Ngoca tersebut merupakan kawasan penanaman padi di atas tanah rizab di bawah kawalan pegawai daerah. 

“Tapak sawah yang berkeluasan dua hektar meliputi lapan petak sawah telah dijadikan medan pertandingan yang terletak di sebelah Perkampungan Budaya Terachi di sini.

“Ini merupakan stadium bola sepak sawah yang pertama dan satu-satunya di negara ini,” katanya.

Ngoca adalah aktiviti menangkap ikan menggunakan tangan di dalam petak sawah atau sungai dan sekiranya dimainkan di dalam petak sawah, ia dilakukan selepas padi dituai. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: