01 November 2011

Menteri nafi jadi 'jurucakap' Lynas

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan dakwaan bahawa beliau ialah "jurucakap" syarikat pemprosesan logam nadir dari Australia, Lynas Corporation Ltd (Lynas).

Malah, beliau menyifatkan dakwaan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) itu satu tuduhan berat dan tidak wajar.

Mustapa (kanan) berkata kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat dan telah menjalankan sesi penerangan kepada banyak pihak termasuk orang ramai berhubung isu tersebut.

"Daripada maklum balas yang diterima, ramai yang mula menerima dan memahami dasar kerajaan menerusi projek ini dan kerajaan akan mempergiatkan lagi proses penerangan ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 pada sidang Dewan Rakyat semalam, bagi menjawab pertanyaan Fuziah yang telah mencelah perbahasannya.

Fuziah juga menyalahkan kerajaan kononnya tidak mengambil kira aspek keselamatan rakyat dalam projek itu.

Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan tidak pernah meluluskan lesen kepada Lynas untuk memulakan operasinya di Gebeng dekat Kuantan, sehingga projek itu menepati syarat yang dikeluarkan oleh panel pakar antarabangsa yang dilantik kerajaan.

Menurutnya, Menteri Petroleum dan Perlombongan Australia Barat Norman Moore juga memberi jaminan bahawa tahap radioaktif yang dihasilkan projek itu adalah sangat rendah.

"Malah, saya juga mahu merujuk kepada apa yang telah disebut oleh ahli parlimen dari PAS sendiri iaitu Hulu Langat (Dr Che Rosli Che Mat) yang merupakan pakar dalam bidang sains nuklear, bahawa projek ini lebih rendah radiasinya," katanya.

- Bernama

1 ulasan:

otaklunyai berkata...

mesti ada makhluk yg siang2 belum apa2 lagi dia dah sakau duit lynas. cuba siasat siapakah makhluk durjana itu... pasti ada yg kantoi... biar rakyat buka mata luas2 dan buka molot luas2... ini amalan standard amno laknatullah