15 Februari 2012

Penarik beca menangis minta wang jaminan dikurangkan

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang penarik beca mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana menumbuk hingga menyebabkan hidung seorang lelaki patah, hujung bulan lalu.

Latif Dollah, 36, dari Kampung Lapan, Bachang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman selepas faham pertuduhan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi.

Berdasarkan pertuduhan, Latif didapati sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Lee Mee Keong, 52, dengan menumbuk hidung hingga patah di hadapan sebiah hotel di Jalan Parameswara, Banda Hilir, kira-kira jam 9.15 malam pada 28 Januari 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Latif sambil menangis memohon mahkamah meringankan wang jaminan terhadapnya dengan alasan ayahnya telah meninggal dunia.

“Saya hanya membawa beca dan gaji saya sedikit. Ibu saya orang lain yang jaga. Saya kini tinggal dengan nenek dan perlu menyaranya yang sakit jantung,” katanya.

Syajaratudur membenarkan Latif diikat jamin RM1,000 selepas Rosli Rasi meminta mahkamah memberikan jaminan RM5,000.

Beliau menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: