15 Februari 2012

Kaki remaja patah terlibat kemalangan

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULAIJAYA – Niat murni seorang remaja berusia 18 tahun untuk mencari rezeki bertukar tragedi apabila kedua-dua kakinya patah setelah terbabit dalam kemalangan di Jalan Seelong-Senai iaitu kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Taman Impian Jaya, di sini, semalam.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa, Mohd Saidin Ismail yang berseorangan dikatakan sedang dalam perjalanan dari rumahnya untuk ke tempat kerja di Taman Putri Kulai, di sini.

Bapa mangsa, Ismail Hassan, 49, berkata, beliau terkejut ketika dihubungi pihak polis mengenai kejadian yang menimpa anaknya yang baru sahaja keluar dari rumah untuk ke tempat kerja pada pagi itu.

“Tidak sampai sepuluh minit dia keluar, saya terima panggilan mengatakan dia mengalami kemalangan kira-kira lima kilometer dari rumah kami.

“Pada mulanya saya sangka kemalangan yang dialami Saidin tidak begitu teruk dan segera ke tempat kejadian, namun mendapati dia telah dibawa ke hospital menaiki ambulans,” katanya.

Ismail berkata, beliau difahamkan kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandu anaknya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, anaknya menerima rawatan awal di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulaijaya dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru kira-kira jam 3.30 petang, semalam untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan itu menyebabkan anak saya patah kedua-dua kaki.

“Manakala kereta yang dipandu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan,” katanya.

Selain itu katanya, Jalan Seelong-Senai merupakan laluan yang sering digunakan anaknya berulang-alik dari rumah ke tempat kerjanya setiap hari.

Sinar Harian

Tiada ulasan: