15 Februari 2012

Remaja patah kaki dihadapkan ke mahkamah

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang remaja terpaksa hadir bertongkat ke Mahkamah Majistret di sini, semalam akibat patah kaki kiri dipercayai dibelasah penduduk kampung selepas dituduh meragut beg seorang wanita.

Wan Mohd Syazwan Wan Abdullah, 19, mengakui perkara itu di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazly.

Tertuduh semalam, dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dengan cara meragut beg tangan Wan Rohayati Wan Hussin di Jalan Telipot di sini, 16 Januari lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh bagaimanapun, mengaku tidak bersalah.

Dia yang beralamat di Kampung Pulau Masjid, Kubang Kerian di sini turut menafikan tuduhan pilihan menyimpan kad pengenalan; pelbagai kad mesin transaksi automatik (ATM) serta lesen memandu mangsa di Tingkat 3, Flat Kubang Kerian di sini.

Bagi pertuduhan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Susulan daripada pengakuan itu, Mohd Fazaly Ali kemudian menetapkan sebutan semula untuk serahan dokumen kepada peguam bela tertuduh pada 5 April depan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: