15 Februari 2012

RM589.4 juta Tajudin-Danaharta ke bawah permaidani?

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Pelbagai pihak tertanya-tanya bagaimanakah caranya penyelesaian dibuat antara syarikat kerajaan Pengurusan Danaharta Berhad (Danaharta) dengan bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli.

Ini kerana, ia melibatkan jumlah wang yang besar iaitu RM589.14 juta wang yang diarahkan oleh mahkamah agar dibayar oleh Tajudin kepada Danaharta sebelum ini.

Ia berlaku di Mahkamah Rayuan semalam apabila Peguam Tajudin, Lim Kean Leong berkata, anakguamnya bersetuju untuk menarik balik semua 27 rayuan, 11 antaranya terhadap Danaharta.

"Dan dia (Tajudin) berharap, semua kos akan ditanggung oleh pihak yang berkenaan," Lim memberitahu mahkamah berikutan persetujuan antara Tajudin dan Danaharta yang bersetuju untuk menanggung kos masing-masing.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dalam kenyataannya mempertikaikan penyelesaian ini.

"Adakah ini satu lagi skandal? Apa isi penyelesaiannya? Sila jelaskan maklumat terperinci kepada rakyat," kata beliau melalui Twitternya.

Pada tahun 2009, Danaharta serta dua anak syarikatnya berjaya dalam saman RM589.14 mereka terhadap Tajudin di Mahkamah Tinggi.

Ogos 2011, media melaporkan, kerajaan telah mengarahkan semua anak-anak syarikatnya (GLC) agar menggugurkan semua tuntutan mereka terhadap Tajuddin, anak didik bekas bendahari Umno, Tun Daim Zainudin ini.

Dalam surat yang dihantar oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, semua GLC dan Danaharta diberitahu, Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan semua saman terhadap Tajudin di luar mahkamah.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, terserah kepada rakyat negara ini untuk membuat keputusan samada penyelesaian di luar mahmamah satu usaha untuk menutup kes ini.

“Ini negara demokratik. Jika kamu fikir kerajaan cuba menyapu perkara ini ke bawah permaidani, kamu boleh tidak menyokong kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang," kata Mahathir di Universiti Perdana.

Harakah Daily

Tiada ulasan: