15 Februari 2012

Pasar Borong Terengganu umpama anak tiri

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 15 Feb: 'Umpama pasar zaman Cowboy'. itulah gambaran yang dapat dilihat di Pasar Borong Terengganu yang terletak di Gong Pauh, dekat sini.

Suasana, kemudahan dan sebagainya langsung tidak menggambarkan kedudukan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandaraya.

(Longkang yang tersumbat di Pasar Borong Terengganu dekat Gong Pauh...gambar Dr Azman)

Pasar Borong Terengganu dibina oleh kerajaan Terengganu dibawab pimpinan PAS ketika itu untuk dijadikan tapak jualan barangan oleh petani dan nelayan tempatan.
Namun selepas Terengganu diambil alih oleh BN semula, pasar ini seolah-olah dianakitirikan oleh kerajaan negeri yang baru sehinggalah sekarang.

Bagi Dr Azman Ibrahim, Ketua Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu, penguatkuasaan dan kemudahan asas pasar ini mesti seiring dengan status bandaraya Kuala Terengganu sekarang.

Beliau bersama pasukannya telah melakukan tinjauan dan bertemu para peniaga pada awal pagi semalam, 14 Februari 2012.

Beliau mencatatkan beberapa isu utama yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib, khususnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

"Pertama, infrastruktur dan kemudahan asas. Kemudahan pasar borong yang dimanfaatkan oleh 99.99% peniaga Melayu ini kelihatan seperti zaman ‘cowboy’ dengan kedhaifan persekitarannya," kata Dr Azman kepada Harakahdaily.

Sebahagian besar jalannya tak berturap, binaan-binaan kayu yang uzur, longkang tersumbat dan berbau busuk khususnya di kawasan peniaga bahan –bahan basah seperti ikan dan ayam, bekalan air yang lebih kerap terputus dan pelbagai lagi.

"Sepatah rungutan mereka yang kami dengar. Kenapa kami dianaktirikan, di sini yang berniaga adalah orang Melayu, Majlis Bandaraya kutip cukai dari kami, tak kan nak tunggu kami angkat sepanduk, buat demonstrasi, baru nak baiki!” beritahu Dr Azman.

Kedua, Kelemahan penguatkuasaan sehingga membenarkan peniaga-peniaga luar datang memasarkan barang-barang mereka di atas lori di kawasan parkir kenderaan secara berleluasa tanpa sekatan sehingga menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga yang sah di sini.

“Kami di sini dikenakan macam-macam bayaran, sedangkan orang luar ambil kesempatan secara percuma,” kata salah seorang dari mereka.

Samada secara langsung atau tidak, kekurangan ini telah menyumbang kepada penurunan mendadak bilangan pelanggan yang datang berurusan sehingga para peniaga mengakui, akhir-akhir ini hasil jualan mereka berkurangan hampir separuh daripada biasa.

Ditambah lagi dengan saingan dari pasaraya besar yang menawarkan serba-serbi dengan kemudahan yang selesa dan nyaman, sedangkan kami berniaga dalam keadaan serba kekurangan.

Berkenaan sumber bekalan hasil-hasil pertanian, secara umum, jelas didapati Terengganu masih gagal untuk beranjak dari pertanian tradisi dan sara diri kepada pertanian adalah perniagaan.

Sebahagian besar bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan yang dipasarkan di sini adalah produk keluaran Thailand dan Cameron Highland.

Ternyata slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ gagal direalisasikan oleh kerajaan negeri walaupun telah membelanjakan peruntukan puluhan juta ringgit setiap tahun.

"Di mana silapnya?" soal beliau.

Harakah Daily

Tiada ulasan: