15 Februari 2012

Tertangkap curi kepala paip

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Perbuatan mencuri kepala paip di deretan kedai berhampiran Pasar Besar, dekat sini, pada awal pagi semalam, menyebabkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohammad Zaki Harun berkata, perbuatan suspek disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang berkebetulan sedang meronda di kawasan itu.

Menurutnya, pengawal keselamatan itu telah mengejar suspek yang melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda sebelum menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.

“Kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.30 pagi dan Pengawal keselamatan itu telah berjaya menahan suspek di hadapan sebuah restoran makanan segera dalam kawasan pekan Teluk Intan.

“Suspek kemudiannya telah diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media, di IPD Hilir Perak, semalam.

Menurut beliau, polis telah membuat pemeriksaan ke atas motosikal suspek dan menjumpai 24 kepala paip yang dipercayai dicuri di sekitar kawasan Teluk Intan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja di sebuah kilang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun penangkapannya telah membawa kepada penyelesaian beberapa kes curi kepada paip di sekitar sini.

“Polis percaya kes kecurian kepala paip ini dilakukan oleh kumpulan tertentu dan kita akan meneruskan siasatan ke atas suspek untuk mendapatkan maklumat.

“Kes kecurian kepala paip ini merupakan antara kes yang mendapat perhatian orang ramai di sini kerana kekerapan ia berlaku,” katanya.

Beliau berkata, polis juga akan menyiasat tempat suspek menjual barang curi berkenaan dan percaya terdapat sindiket yang mendalangi kegiatan curi kepala paip.

“Saya nasihatkan pemilik kedai barang lusuh agar tidak menerima barangan yang mencurigakan kerana mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tertangkap,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: