15 Februari 2012

Suspek Pengebom Ditahan Di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BANGKOK: Seorang rakyat Iran ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini malam Selasa berhubung insiden tiga letupan di ibu negara sebelum ini.

Ketua Polis Bandaraya Bangkok Leftenan Jeneral Winai Thongsaeng berkata suspek ditahan ketika cuba menaiki penerbangan pukul 6 petang untuk keluar dari negara ini.

Tiga letupan bom menggegarkan Bangkok pada Selasa menyebabkan seorang lelaki rakyat Iran hilang kedua-dua belah kakinya apabila sebutir bom yang dilontarkannya ke arah kereta peronda polis melantun semula dan mengenainya di Jalan Sukhumvit 71 di sini.

Suspek yang ditahan di lapangan terbang itu dipercayai seorang daripada teman serumah pengebom manakala seorang lagi masih bebas.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Jeneral Pansiri Praphawat berkata selain pengebom, empat rakyat tempatan cedera dalam kejadian itu.

Beliau berkata bom pertama meletup di sebuah rumah yang disewa oleh rakyat Iran berkenaan di Lorong Preedeepanomyong 31, off Jalan Sukhumvit 71 pada kira-kira 2 petang.

Polis menemui beberapa butir bom buatan sendiri di dalam rumah berkenaan, katanya.

Pansiri berkata selepas letupan itu, lelaki Iran terbabit menahan sebuah teksi di tepi jalan di lorong itu, tetapi dia melemparkan sebiji bom ke arah teksi berkenaan apabila pemandu teksi enggan berhenti setelah diberi amaran oleh orang awam bahawa lelaki terbabit membawa bom.

Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata kereta peronda polis berjaya memintas pengebom itu di hadapan sebuah sekolah di Jalan Sukhumvit 71 dan lelaki terbabit membaling bom ketiga ke arah kereta peronda tetapi bom berkenaan melantun semula ke arahnya dan meletup.

Pada masa ini tidak dapat dipastikan sama ada kejadian letupan itu mempunyai kaitan dengan mana-mana amaran keganasan di ibu negara ini yang dikeluarkan oleh beberapa negara bulan lepas.

Pada 13 Jan, Kedutaan Amerika Syarikat di sini mengeluarkan amaran bahawa pengganas asing mungkin akan melakukan serangan terhadap kawasan pelancongan di ibu negara ini dalam masa terdekat.

Suspek pengganas, seorang rakyat Lubnan berusia 48 tahun, ditahan di bandar ini pada 12 Jan dan lebih empat tan bahan letupan ditemui selepas itu.

Kira-kira 20 negara telah mengeluarkan amaran perjalanan sejak itu tetapi pada masa ini kebanyakan negara telah menarik balik amaran itu. - BERNAMA

Tiada ulasan: