15 Februari 2012

Wanita maut tersepit

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Seorang wanita maut apabila kereta dinaikinya dirempuh sebuah kereta yang 'terbang’ selepas melanggar pembahagi jalan di Kilometer Empat Jalan Gua Musang - Kuala Lipis, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Siti Ibrahim, 56, menaiki sebuah kereta bersama suami, Baharudin Yusof, 59, dan anak lelaki mereka, Mohd Lokman, 26, dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke rumahnya di Rancangan Tanah Felda Perasu, Gua Musang.

Sebaik sampai di lokasi berhampiran Taman Etono­botani, kereta dipandu seorang remaja dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Lipis terbabas selepas melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bersebelahan.

Berikutan itu, kereta dipandu Mohd Lokman tidak dapat dikawal menyebabkan berlanggar dengan kereta dipandu remaja terbabit, menyebabkan kedua-duanya terbalik.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Baharudin dan Mohd Lokman mengalami cedera ringan.

Pemandu sebuah lagi kereta, Mohd Amir Ibrahim, 23, cedera parah di bahagian mata dan kesemua mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah mengesahkan kejadian itu.

Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Perasu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: