22 Februari 2012

Takut dihempap tangki

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Lebih 800 penduduk di Flat Taman Setia Jaya menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera memindahkan tangki air yang sudah rosak atas faktor keselamatan.

Salah seorang penghuni flat di blok G berkenaan, Zaiton Abd Hamid, 34, berkata, mereka risau tangki air yang sudah lebih lima bulan tidak digunakan itu akan menghempap kediaman mereka sekiranya berlaku angin kencang.

Menurutnya, kebimbangan mereka semakin bertambah apabila sekitar jam 2.30 pagi baru-baru ini berlaku gegaran kuat pada tangki berkenaan apabila keluasan tangki tidak dapat menampung kapasiti air hujan yang masuk ke dalamnya.

“Kebetulan saya belum tidur semasa gegaran itu berlaku sekitar tiga hingga empat minit disertai dengan bunyi dentuman seakan-akan guruh. Mulanya ingatkan tsunami rupanya berpunca daripada tangki air berkenaan.

“Jarak rumah dengan tangki air dekat kerana rumah saya yang diduduki bersama lima beranak berada di bahagian atas, kejadian ini sudah dua kali berlaku kali pertama tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Zaiton berkata, dia berharap PBT akan mengambil tindakan segera mengalihkan tangki itu kerana keadaan fizikalnya semakin uzur dan sudah tidak digunakan apabila penduduk mula menggunakan bekalan air yang disalurkan melalui paip.

Penduduk, Moh Kok Aun, 64, berkata, dia turut merasai gegaran kecil yang berlaku walaupun tinggal di tingkat tiga blok yang sama.

“Saya tinggal bersama tiga ahli keluarga dan kami berharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Flat Taman Setia Jaya, Maidin Hamid berkata, mereka memohon kerjasama daripada semua pihak mengambil serius mengenai perkara itu.

“Kita minta supaya tangki yang berusia lebih 21 tahun itu diganti dengan tangki baru kerana apabila bekalan air paip tiada mereka boleh menggunakan air tangki untuk keperluan seharian penduduk.

“Blok G diduduki 80 keluarga, majoriti masyarakat Cina dan selebihnya Melayu. Kita menggesa usaha berkenaan dilakukan secepat mungkin sebelum tangki itu jatuh serta bahayakan keselamatan penduduk,” katanya.

Maidin berkata, sebelum ini beberapa rayuan berhubung perkara berkenaan sudah dibuat namun tiada sebarang maklum balas, dan mereka turut menghadapi masalah lain seperti tong sampah tidak bertutup serta ketiadaan lampu di bangunan blok.

Menurut Adun Derga, Dr Cheah Soon Hai, PBT perlu lebih bertanggungjawab menyelesaikan perkara ini sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

“Kos untuk memindahkan tangki hanya sekitar RM10,000 dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) sudah menjalankan tugas mereka membuang air dalam tangki namun tugas memindahkan tangki terletak pada bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Aduan sudah kerap kali dibuat dan masalah yang sama sudah lebih lima kali dilaporkan melalui media namun kita masih tidak menerima sebarang respons positif daripada mereka. Besi yang menampung tangki air juga sudah longgar,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pembangunan Kerajaan Tempatan, Wan Azwar Wan Anuar berkata, beliau akan memaklumkan perkara berkenaan kepada bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengambil tindakan lanjut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: