22 Februari 2012

Kumbang Merah Palma ancam tanaman kelapa

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH - Orang ramai dinasihatkan memberi kerja sama dan menghubungi Jabatan Pertanian atau Pejabat Pertanian terdekat sekiranya mendapat tanaman palma seperti kelapa dan kelapa sawit mati tanpa diketahui puncanya.

Penolong Pengarah Unit Perlindungan Tanaman Negeri Pahang, Rizuwan Said berkata, masalah pokok kelapa atau kelapa sawit mati dikhuatiri berpunca daripada sejenis serangga perosak baru.

Menurutnya, perosak itu merupakan Kumbang Merah Palma (Rhychophorus Ferrugineus) atau lebih dikenali Red Palm Weevil merupakan sejenis perosak tanaman yang serius dan berbahaya.

“Perosak itu dikatakan menyerang beberapa tanaman di Afrika, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Utara kini Kumbang Merah Palma itu didapati mula menyerang tanaman pokok palma seperti kelapa, salak dan kelapa sawit di negara ini.

“Perosak tanaman itu didapati menyerang tanaman jenis kelapa dan berpotensi merebak serta mengancam tanaman kelapa sawit negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah kepada 40 kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Pahang bagi mengenal pasti kesan serangan Kumbang Merah Palma dan kaedah pengawalan serangga perosak tersebut.

Rizuwan berkata, kawalan terhadap perosak ini perlu dilaksanakan segera kerana ia boleh mengakibatkan industri sawit negara yang menyumbang RM50 bilion setahun kepada ekonomi negara terjejas.

Menurutnya, perosak ini dijumpai pada tanaman salak, sagu, kurma dan pokok hiasan lain.

“Kumbang Merah Palma tergolong dalam Order Coleoptera dan Famili Curcuilonidae dipercayai berasal dari Asia.

“Kerosakan disebabkan kumbang ini bermula apabila kumbang betina bertelur dalam umbut atau pangkal atau pelepah dan pada luka yang terdapat pada pokok.

“Ianya dipercayai boleh menghasilkan 250 biji telur pada satu-satu masa. Larva yang menetas akan mengorek dalam batang pokok sambil memakan tisu pokok,” katanya.

Menurutnya, jika dibiarkan lama-kelamaan pokok tersebut akan mati dan serangan seterusnya akan merebak dengan lebih cepat pada pokok berhampiran.

“Tanda-tanda serangan kumbang ini seperti pucuk pokok layu, menjadi kuning, kering dan mati. Bahagian pelepah turut patah dan tergantung di pokok, kecederaan di bahagian dalam batang yang dibelah dua, kelihatan lubang dan pengeluaran cecair berbau masam yang berwarna kekuningan dan coklat serta tisu dimakan dibuang sekitar lubang.

“Orang ramai yang mempunyai masalah pada pokok palma masing-masing perlu segera melaporkan kepada Pejabat Pertanian Daerah masing-masing segera,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: