22 Februari 2012

Keluarga sengsara bau racun

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEROI - Seorang guru sebuah sekolah di sini tertekan apabila hidup dalam persekitaran yang dicemari bau racun daripada tapak pertanian berhampiran rumahnya.

Guru terbabit, Adam Md Ali berkata, dia telah tinggal di Kampung Sungai Malai di sini, sejak lapan tahun lalu dan sejak akhir tahun lalu, dia rasa tertekan dengan kegiatan pertanian yang dijalankan pemilik tanah bersebelahan rumahnya kerana sering terbau racun yang digunakan untuk kegiatan pertanian di situ.

Menurutnya yang mempunyai lima anak, kesan semburan racun di tapak pertanian itu, anak-anaknya sering demam dan mengalami kegatalan di kulit hingga terpaksa mendapatkan rawatan di klinik.

“Saya tidak menghalang kegiatan pertanian yang dijalankan namun meminta pihak berkenaan prihatin dengan masalah yang dialami saya sekeluarga yang terpaksa hidu bau racun dan membahayakan kesihatan.

“Mungkin pihak berkenaan boleh menggunakan kaedah atau teknik tertentu yang boleh mengurangkan kesan semburan racun ataupun mencari tapak tanaman di kawasan lain yang jauh daripada penempatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Sungai Malai, Pangiran Julaini Musa berkata, beliau pernah membuat aduan terbabit kepada pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Kesihatan Daerah Yan namun tidak ada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, beliau juga pernah berbincang dengan pengusaha pertanian itu namun tidak mendapat kata sepakat yang boleh menyelesaikan masalah terbabit.

“Bukan sahaja Adam dan keluarganya yang mengalami masalah itu namun tempiasnya juga turut dirasai oleh jemaah Surau Kampung Sungai Malai.

“Semburan racun dilakukan pada waktu selepas Maghrib hingga ke jam 11 malam setiap dua atau tiga hari sekali. Pernah pada satu malam, jemaah sedang mengikuti kuliah agama di surau dan terpaksa dihentikan akibat mereka tidak tahan terhidu bau racun,” katanya.

Sinar Harian difahamkan pengusaha pertanian berkenaan membeli tanah di situ untuk menanam pelbagai tanaman namun tidak menetap di situ.

Usaha Sinar Harian menghubungi pengusaha pertanian itu untuk mendapatkan maklum balas daripadanya gagal.

Sinar Harian

Tiada ulasan: