22 Februari 2012

Tiga remaja dicekup ketika belajar curi motosikal

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT - Usia baru setahun jagung, tetapi tiga remaja berumur 15 tahun di daerah ini, memilih jalan hitam berjinak-jinak dengan ilmu mencuri motosikal yang turut melibatkan tiga lagi individu lain.

Kumpulan baru belajar ini dipercayai aktif mencuri motosikal di tiga daerah termasuk daerah ini, Kluang dan Petaling, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ahli kumpulan berkenaan diberkas polis dalam serbuan berasingan di Sri Medan, Yong Peng dan Batu Pahat.

Menurutnya, serbuan dilakukan sekitar jam 11 malam hingga 1 pagi dan 5 pagi hingga 7 pagi, 14 dan 15 Februari lalu.

“Selain tiga pelajar itu yang belajar di sekolah berlainan, seorang lagi suspek yang ditahan berusia 16 tahun dan sudah tidak bersekolah sebaliknya bekerja sebagai pencuci kereta, di sini.

“Dua lagi suspek masing-masing berumur 23 dan 39 tahun, kedua-duanya hanya melakukan kerja kampung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Din berkata, dua motosikal yang dilaporkan hilang bersama dua enjin motosikal lain turut dirampas dalam serbuan yang dijalankan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, nombor casis pada enjin yang dirampas adalah milik motosikal yang dilaporkan hilang di daerah ini, Kluang dan Petaling serta dipercayai dilakukan ahli kumpulan ini.

“Suspek yang berusia 39 tahun masih ditahan di Brickfields, Kuala Lumpur, berikutan laporan kecurian motosikal di sana dan semua suspek yang masih bersekolah dibebaskan dengan jaminan polis manakala, suspek berumur 16 dan 23 tahun ditahan di IPD Batu Pahat bagi membantu siasatan serta kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

“Kumpulan ini dipercayai meleraikan komponen motosikal yang dicuri untuk dijual di pasaran gelap dan polis menasihati orang ramai agar tidak memberi ruang dan peluang kepada pencuri motosikal antaranya dengan tidak menyediakan kunci tambahan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: