22 Februari 2012

Wanita hilang enggan bercakap

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LANCHANG – Wanita hilang yang sesat selepas memasuki kawasan hutan dan ladang dekat Kampung Bolok Hilir di sini Ahad lalu masih gagal menjelaskan motif sebenar dia berbuat demikian.

Mariana Mohd Zakaria, 28, hanya diam membisu dengan mengangguk dan menggelengkan kepala setiap kali diajukan soalan sama ada dia mempunyai masalah sehingga keluar mengikut ‘suami’ berambut panjang ke dalam hutan.

“Saya hanya nak bercakap dengan polis,” katanya sebaik Sinar Harian tiba di rumah adiknya dekat Taman Lanchang Permai, di Kampung Bolok Hilir di sini, semalam.

Mariana juga mengangguk apabila ditanya sama ada gangguan suara ghaib mengganggunya ketika tinggal bersama suami di Felda Lepar Hilir dan ketika bermalam di rumah adiknya.

Dia juga mengangguk apabila ditanya telah makan ubat diberikan doktor dan mengakui mendukung anaknya, Siti Alia Natasha Azli, 2, sepanjang berada dalam hutan.

Natasha diberikan peluang menulis semua masalah pada sehelai kertas diberikan Sinar Harian, namun semuanya seakan terkunci apabila dia cuba meluahkan masalahnya.

Ketika dua anggota polis dari balai Lanchang tiba di rumahnya, Mariana enggan bercakap tidak sama seperti diberitahu pada awalnya.

“Dia tipu,” itu perkataan terakhir Mariana sebelum semua yang berada dalam rumahnya beredar pagi semalam.

Dalam kejadian Ahad lalu, Mariana mendukung anaknya Siti Alia Natasha 2, masuk ke dalam hutan selepas mendengar suara ghaib dan lelaki berambut panjang menyerupai suaminya.

Sinar Harian difahamkan keluarga mangsa sedang berusaha mencari kaedah terbaik bagi mengubati mangsa.

Sinar Harian

Tiada ulasan: