22 Februari 2012

Penjawat awam ditahan kes dadah

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Dua kakitangan kerajaan antara empat yang ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah selepas polis menemui ketulan ganja di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kesemua mereka ditahan dalam satu pemeriksaan selepas sepasukan polis yang mengadakan rondaan cegah jenayah di kawasan Taman Datuk Syed Abbas, Jelutong.

Menurutnya, kereta itu ditahan selepas ia dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Kong Meng berkata, hasil pemeriksaan pada kereta yang dinaiki keempat-empat lelaki yang berusia 20 tahun itu, polis menemui satu ketulan mampat ganja seberat satu kilogram di bawah tempat duduk kereta berkenaan.

Kesemua lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu datang ke sini semata-mata untuk mendapatkan bekalan ganja dipercayai untuk tujuan pengedaran.

“Kita percaya ganja yang bernilai RM2,500 itu untuk dipasarkan di Kuala Lumpur.

“Kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka kini direman selama empat hari sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kong Meng berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Sinar Harian

Tiada ulasan: