22 Februari 2012

Sindiket curi kenderaan tumpas

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Polis Selangor menumpaskan sindiket curi kenderaan berpusat di Simpang, Taiping, Perak dalam serbuan pada 17 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, hasil penahanan tiga lelaki berusia 22 hingga 33 tahun di Rawang, 16 Februari lalu, polis berjaya mengesan sindiket terbabit yang dipercayai beroperasi sejak 1999.

Menurutnya, hasil ke atas pemeriksaan kereta dan tiga lelaki terbabit, mereka didapati memiliki pelbagai alatan mencuri.

“Dipercayai mereka merancang mencuri lori di kawasan berdekatan pasar raya di sini,” katanya di Pusat Media, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor; Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, Ketua Polis daerah Gombak; Assisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah dan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Aster Mohamad.

Beliau berkata, susulan tangkapan pertama, pihaknya berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 25 tahun di Sabak Bernam, 17 Februari, lalu atas kesalahan mencuri.

Tun Hisan berkata, hasil maklumat daripada beberapa tangkapan, pihaknya berjaya menyerbu premis di Simpang, Taiping, Perak.

Menurutnya, pada hari sama, kira-kira jam 4 petang, pihaknya menahan lapan suspek berusia 18 hingga 40-an, termasuk seorang wanita dipercayai kerani kepada premis tersebut dan empat warga Bangladesh.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui pelbagai komponen kereta dipercayai daripada kenderaan curi. Setiap enjin sudah dikikis nombor pendaftaran dan menyukarkan kita untuk mengenal pasti nombor tersebut,” katanya.

Pada serbuan itu, pihaknya berjaya merampas 1,101 enjin lori, 102 enjin kereta, 30 kepala lori, 1,040 pintu lori yang dikikis nama syarikat, 3 buah lori, 128 buah kereta, 3 kepala kereta dan 13 anak kunci.

Menurutnya, premis tersebut dipercayai menjadi gudang simpanan kenderaan yang di curi dari beberapa kawasan. Beliau berkata, seorang lelaki dicari iaitu Muniandy R Chinnapan, 44, dari Taman Kota Jaya Simpang, Taiping, Perak dipercayai pemilik premis tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan.

Tun Hisan berkata, 12 suspek berhubung kes ini ditahan reman sehingga 22 Februari ini dan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: