22 Februari 2012

Taktik bungkus dadah gagal

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Taktik cuba mengaburi pihak berkuasa dengan membungkus dadah kepada bungkusan kecil di rumah milik keluarga gagal apabila premis diserbu polis, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohamad Zaki Harun berkata, serbuan dibuat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Polis Daerah (IPD) Hilir diketuai Detektif Subinspektor (DSI) Ku Ahmad Zamri Perak di sebuah rumah di Jalan Kampung Banjar, Taman Fajar kerana disyaki menyimpan dadah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menjumpai sebuah kotak tisu mengandungi 80 peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dan dianggarkan seberat 131.28 gram setiap satu di sebuah bilik tidur.
“Kami menahan tiga lelaki dan dua wanita untuk tindakan lanjut.

“Pihak kami turut membawa dua bayi berusia setahun dan dua kanak-kanak berusia empat tahun yang kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Mohamad Zaki berkata, kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan polis dan kes itu disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan hukuman gantung sampai mati.

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut menyerbu sebuah rumah di Batu 3 1/2 Jalan Changkat Jong, Ahad lalu, kira-kira 11.30 malam kerana disyaki menjadi tempat menyimpan dadah.

Menurutnya, pihaknya terpaksa memecahkan pintu jeriji dan pintu hadapan rumah itu setelah pemilik rumah enggan membuka pintu.

“Dua lelaki berlari keluar dari bilik tidur sebelah kiri dan menuju ke tandas dalam rumah berkenaan.

“Pintu tandas kemudiannya dipecahkan dan berjaya menahan seorang lelaki yang cuba membuang sepeket plastik lut sinar berisi heroin yang dianggarkan seberat 18.75 gram di dalam mangkuk tandas,” katanya.

Mohamad Zaki berkata, pemeriksaan lanjut di bilik tidur menjumpai dua peket plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 26.52 gram dan sepeket plastik lut sinar berisi syabu kira-kira 2.54 gram.

“Selain itu, kami turut menjumpai sepeket plastik lut sinar yang berisi dadah jenis ganja dianggarkan 0.75 gram dan kesemua suspek dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, turut dirampas sebuah penimbang elektronik dan wang tunai sebanyak RM1,800 dan 1,420 bath.

“Hasil ujian saringan awal air kencing kepada seorang lelaki ini didapati positif morfin dan manakala seorang lagi positif meth.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: