22 Februari 2012

Perut terburai, kaki hampir putus

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MARANG – Seorang pejalan kaki menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila isi perutnya terburai selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 23.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan di Kelulut di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam.

Mangsa yang tidak membawa sebarang kad pengenalan diri itu dirempuh ketika dia berada di atas jalan.

Kehadiran lelaki misteri itu juga tidak dapat dilihat dengan jelas kerana keadaan jalan di situ agak gelap.

Ketika itu, pemandu kereta jenis Proton Waja yang membawa bersama seorang penumpang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan gagal mengelak selepas sebuah kereta di hadapannya berjaya mengelak daripada melanggar mangsa.

“Tanpa diduga, kereta Proton Waja yang gagal mengelak itu terus merempuh pejalan kaki terbabit menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter dari tempat kejadian sebelum kereta itu terbabas,” kata seorang pembantu kedai makan, Elizawati Che Omar, 22.

Dentuman kuat akibat rempuhan itu dan bunyi brek kenderaan yang kedengaran turut menarik perhatian orang ramai yang berada di situ.

Sebaik diperiksa keadaan mangsa, dia didapati sudah tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di seluruh anggota badan.

Malah perut mangsa juga didapati pecah dan terburai manakala kaki kirinya pula hampir putus.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, Mohd Hanif Ismail, 18, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia dalam perjalanan mengambil seorang rakan berdekatan kawasan itu.

Menurutnya, kehadiran mangsa di atas jalan tidak dapat dilihat dengan jelas dan dia mendakwa keadaan jalan di situ agak gelap.

Dia bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penumpang kenderaan itu pula cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu berkata, mangsa dikenali sebagai Ramli Ismail, beralamat dari Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.

Menurutnya, mangsa kemalangan terbabit juga dipercayai orang kurang siuman.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sebelum dituntut bapanya.

“Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: