22 Februari 2012

Tidak sedar kaki abang putus

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JELI – Seorang bekas tentera meninggal manakala isterinya patah kedua-dua paha selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh pacuan empat roda 4x4 dari arah bertentangan, pagi kelmarin.

Mangsa, Mohamad Yusuff, 59, yang putus kaki kanan dan cedera di beberapa bahagian badan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Kuala Balah.

Ketika kejadian, mangsa bersama isteri, Fatimah Yakub, 52, dikatakan dalam perjalanan dari arah Dabong mahu pulang ke rumah selepas selesai menoreh getah.

Adik ipar mangsa, Shapei Mamat, 47, dia berada di kedai makan miliknya sebelum dimaklumkan anaknya Siti Zaleha Shapei, 19, mengenai kemalangan yang menimpa kakak dan abang iparnya itu kira-kira jam 11.10 pagi.

“Saya ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan dan mendapati arwah dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu saya peluk dan membawanya ke Klinik Kesihatan Kuala Balah, sebaik tiba di klinik berkenaan barulah saya menyedari kaki sebelah kanannya tiada, kami menemui semula kaki mangsa berhampiran kawasan kemalangan.

“Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara ketika berkunjung ke kedainya sebelum kejadian cuma mangsa ada mengatakan dia akan pergi mengail pada keesokan harinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata demikian ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jeli, malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan, Sheik Azhar Sheik Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan kes ini disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian

Tiada ulasan: