01 Mac 2012

Bersih: Mohamad Sabu, 16 lagi diarah bela diri

8 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan 17 orang termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Padang serai, N. Gobalakrishnan membela diri terhadap pertuduhan terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha mendapati terdapat kes prima facie terhadap mereka setelah meneliti hujah rayuan yang dikemukakan pihak pendakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 November 2010.

Mereka diperintah membela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Jagjit Singh Bant Singh pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan menaikkan ikat jamin daripada RM2,000 kepada RM5,000 setiap seorang.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi yang turut berada di mahkamah hari ini, sekretariat Bersih 2.0 dengan bantuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang menyediakan wang ikat jamin untuk setiap orang kena tuduh (OKT).

"Kesemua OKT perlu menjelaskan ikat jamin hari ini, kalau gagal mereka akan diperintah masuk lokap," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagaimanapun, seorang daripada OKT telah meninggal dunia tahun lalu manakala seorang lagi sakit dan tidak dapat hadir.

Mohamad Sabu, 57, dan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 39, menghadapi dua pertuduhan iaitu tuduhan utama dan tuduhan pilihan.

Bagi tuduhan utama, mereka didakwa bersama-sama sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan boleh membawa kepada kemudaratan awam.

Bagi tuduhan pilihan, mereka didakwa bersama-sama mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut dan didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi setahun, jika sabit kesalahan.

Mohamad Sabu dan Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Istana Baru di sini pada 3.05 petang 10 November 2007.

Harakah Daily

Tiada ulasan: