01 Mac 2012

Tayar, topi mesti ada tanda SIRIM

8 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Bermula 1 September ini, kerajaan hanya membenarkan penjualan tayar kenderaan dan topi keledar yang mempunyai tanda pengesahan Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (SIRIM) atau mematuhi Peraturan UNECE bagi produk import, yang menunjukkan ia sudah melepasi piawaian seragam serta selamat digunakan.

Produk yang diluluskan SIRIM perlu ditandakan dengan’MS’ manakala yang diimport ‘EX’.
Peniaga yang didapati melanggar peraturan itu boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tujuan utama peraturan itu diperkenalkan ialah bagi memastikan pengguna membeli produk yang berkualiti dan berisiko rendah untuk mendapat kemalangan serta kecederaan.

“Peraturan itu akan diwartakan pada Mac ini dan kementerian memberi tempoh enam bulan kepada pengeluar, peniaga dan pengguna untuk membuat penyesuaian yang diperlukan.

“Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan larangan import tayar dan topi keledar yang tidak mematuhi standard yang ditetapkan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, peraturan itu juga diperkenalkan bagi menutup jurang kawal selia komponen automotif yang membabitkan kenderaan darat kerana pada masa ini tiada undang-undang khusus mengenainya untuk penguatkuasaan piawaian seragam mandatori bagi kenderaan penumpang dan perdagangan di premis perniagaan.

Beliau berkata, selepas tempoh enam bulan itu, kementerian boleh mengambil tindakan seperti penyitaan, menarik balik atau mendakwa mereka yang masih membekalkan tayar dan topi keledar tiada tanda kelulusan berkenaan.

berita harian/-

Tiada ulasan: