01 Mac 2012

Kerugian MAS kerana pengurusan tidak pro

8 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Kerugian mengejutkan sebanyak RM2.52 bilion yang dialami oleh syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) untuk tahun 2011 adalah peringatan jelas bahawa salah urus dan model bisnes yang gagal telah mengakibatkan krisis dalam syarikat penerbangan yang pernah menjadi kebanggaan ramai apabila simpanan tunainya juga sudah hampir kehausan.

Sebenarnya, MAS sudah pun mula menjunam sejak pemergian Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pada tahun 2009, apabila keuntungan bersihnya telah merudum dari tahun ke tahun.

Keuntungan RM490 juta pada tahun 2009 telah diikuti oleh keuntungan RM234 juta pada 2010 dan kemudiannya kerugian sebanyak RM2.52 bilion untuk tahun 2011.

Kerugian yang dialami ini jauh berbeza dengan prestasi beberapa tahun lalu apabila Datuk Seri Idris Jala telah dilantik untuk memulihkan MAS sebagai CEO.

Beliau dilantik pada tahun 2005 dan telah berjaya mencatatkan keuntungan RM850 juta pada tahun 2007 berbanding dengan kerugian RM1.3 bilion hanya 2 tahun sebelum itu.

Idris telah memulihkan MAS tetapi semua usahanya sudah sia-sia sekarang. Adakah kita memerlukan Datuk Seri Idris Jala untuk kembali menerajui kokpit MAS untuk menyelamatkannya?

Di samping kerugian yang teruk itu, simpanan tunai MAS telah diseparuhkan kepada RM1 bilion pada akhir tahun lepas daripada RM2.1 bilion pada akhir tahun 2010, sementara aset bersih telah menurun daripada RM3.5 bilion kepada RM1.1 bilion.

Dalam kata lain, MAS sudah tidak lagi terbang dengan bahan api tetapi hanya terbang dengan asap. Inilah pewarisan “piratisation” atau perompakan yang menyamar sebagai penswastaan dan kemudian pengambil alihan semula oleh kerajaan secara tidak keruan.

Malah tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyelamatkan MAS pada tahun 2001 dengan membayar dua kali ganda harga pasaran tidak dapat membantu.
Kerajaan Persekutuan telah membayar RM1.8 bilion ataupun RM8 setiap saham kepada Tan Sri Tajudin Ramli walaupun harga pasaran pada masa itu hanya RM3.68 setiap saham.

MAS tidak boleh menyalahkan keadaan ekonomi global yang kurang sihat kerana Singapore Airlines telah mencatatkan keuntungan untuk tahun lepas.

Malah, kita tidak perlu pergi jauh kerana syarikat penerbangan bajet tempatan Air Asia pun telah mengalahkan MAS.

Kita hanya perlu melihat permodalan pasaran Air Asia yang bernilai RM10.1 bilion, berbanding MAS yang hanya bernilai RM4.8 bilion.

Meskipun Air Asia hanya berumur satu dekad dan jauh lebih kecil dari segi operasi, ia bernilai lebih dua kali ganda dalam permodalan pasaran.

Tentunya terdapat masalah apabila syarikat penerbangan bajet yang mengenakan caj yang lebih rendah boleh lebih berjaya dan untung berbanding syarikat penerbangan yang mengenakan caj yang tinggi.

Daya maju syarikat penerbangan kebangsaan kita akan terus dipersoalkan melainkan isu-isu fundamental diselesaikan. Adakah ianya satu masalah model bisnes yang gagal atau pengurusan yang gagal, ataupun kedua-duanya?

Adalah jelas bahawa cara untuk mengelakkan aset kebangsaan kita daripada terhempas adalah untuk menggunakan model bisnes baru yang berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus yang telah membawa kejayaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bukan sahaja kita berjaya meyakinkan dan menarik pelabur dan menjadi destinasi pelaburan pembuatan nombor satu di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2010 dan 2011, Pulau Pinang juga telah mencatatkan lebihan bajet pada setiap tahun sejak 2008 dan telah mengurangkan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta.

Model bisnes yang sedang digunakan MAS jelas sudah gagal.

Sekiranya MAS terus menggunakan kaedah perancangan pusat dan membenarkan campur tangan politik yang membiakkan rasuah dan ketidak cekapan, syarikat penerbangan kebangsaan kita akan ditakdirkan untuk gagal.

Akhirnya, soalan yang ingin ditanya oleh rakyat Malaysia adalah siapakah yang akan bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini? Sudah tentu kerugian RM2.52 bilion oleh syarikat penerbangan kebangsaan kita ini tidak boleh diterima semua, terutamanya apabila sebab utama ia diselamatkan oleh kerajaan adalah untuk menyelamatkannya daripada masalah-masalah salah urus dan model bisnes yang lemah.

Kerajaan mestilah mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini dan mengambil tindakan ke atas mereka kerana itulah yang diharapkan oleh rakyat Malaysia.

Harakah Daily

Tiada ulasan: