01 Mac 2012

Hilang lepas putus cinta

8 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SERI KEMBANGAN – “Saya nampak roh anak berjalan-jalan di depan pagar rumah dan kemudian hilang sekelip mata apabila cuba memanggilnya namanya. Sejak hilang 19 hari lalu, saya tidak tahu sama ada anak saya masih hidup atau sebaliknya,” kata Moon Nyok Lin, 50 yang mendakwa anaknya Chong Chee Kien, 29, hilang tanpa dapat dikesan dan hanya meninggalkan sebuah diari pada 10 Februari lalu.

Nyok Lin berkata, kedukaan ditanggung berdepan dengan anak lelakinya yang pernah tiga kali cuba membunuh diri terus berpanjangan apabila anak sulungnya itu tidak pulang ke rumah.

“Anak saya pernah memberitahu sudah kecewa dalam kehidupan kerana enam kali putus cinta. Perkara itu terbongkar apabila saya membaca diari yang ditinggalkan di atas meja bilik tidurnya.

“Saya bimbang kerana dia pernah cuba membunuh diri disebabkan masalah cinta. Apa yang membuatkan saya risau adalah sama ada anak itu masih hidup atau mati,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir anaknya dilihat keluar rumah memakai jaket berwarna coklat cair, berseluar jeans dan memakai baju-T berwarna jingga.

“Saya tiada di rumah ketika dia keluar dari rumah dan dipercayai anak sulung saya itu menunggang motosikal jenis Yamaha berwarna merah putih dengan nombor pendaftaran WLL1854.

“Hanya jiran yang nampak dia keluar tanpa membawa beg pakaian. Dia tidak memaklumkan kepada mana-mana ahli keluarga tempat ditujunya dan masih gagal dihubungi sehingga kini,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan 11 Februari lalu.

Nyok Lin berkata, anaknya yang pernah dirawat di Hospital Serdang kerana masalah mental itu tidak bekerja sejak 2006 selepas putus cinta pada kali pertama.

“Selepas putus cinta, perangai anak saya memang berubah dan dia malas bekerja. Rutin hariannya hanya menonton televisyen dan melayari Internet.

“Saya yang menanggung makan minumnya selain adiknya ada memberinya wang saku untuk berbelanja,” katanya me­mak­lumkan bimbang anaknya membunuh diri kerana perkara itu pernah dinyatakan anaknya di dalam diari yang mengatakan mahu membunuh diri di sebuah rumah kosong.

Menurutnya, walau apa pun terjadi sama ada hidup atau mati, dia memohon mereka yang terserempak dengan anaknya supaya dapat menghubungi pihaknya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang menerima aduan daripada ibu mangsa berkata, orang ramai yang menemui pemuda itu diminta menghubungi Pejabat Komuniti Serdang di talian 03-89426381.

Sinar Harian

Tiada ulasan: