01 Mac 2012

Jingga 13 selar Adnan, nafi belum buat laporan polis

8 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Mac: NGO Jingga 13 hari ini menyelar kenyataan Setiausaha Agung Umno bahawa tiada sebarang laporan polis dibuat yang melibatkan Umno berhubung insiden serangan terhadap perseta Himpunan Hijau 2.0 di Pulau Pinang 26 Februari lalu.

Menyifatkan kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai 'berbohong', koordinatornya Fariz Musa berkata laporan serta bukti telah diserahkan kepada polis pada 28 Februari lalu lagi.

"Jingga 13 melalui Jingga 13 Pulau Pinang telah membuat laporan polis pada 28 Februari 2012 bertempat di IPD Bandar Perda, Bukit Mertajam yang turut disertakan rakaman gambar bukti tindakan provokasi dan brutaliti yang dilakukan oleh Umno yang rata-rata memakai topi berlogokan Umno dan tertera "Umno Seremban" serta termasuk dikenalpasti beberapa orang yang merupakan ahli pemuda Umno Balik Pulau," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian di Padang Kota Lama, Ahad lalu, peserta Himpunan Hijau 2.0 didakwa diserang kira-kira 50 lelaki yang dipercayai penyokong Umno.

Dalam serangan itu wartawan Kwong Yit Poh, Adam Chew cedera dan menerima 8 jahitan di lengan dan Lee Hong Chun, didakwa dipukul dengan topi keledar oleh kumpulan tersebut .

"Jingga 13 juga yakin bahawa Adun Telok Bahang yang juga merangkap Ketua Umno Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Mohd. Hilmi Yahya mengetahui siapakah dalang sebenar disebalik tindakan liar pemuda Umno menyerang wartawan dan rakyat yang berhimpun dengan aman tersebut.

"Ini kerana berdasarkan laporan Umno Balik Pulau , kira-kira 50 orang pemuda Umno Seremban bersama Pemuda Umno Balik Pulau sebelum itu mengadakan Program Gotong Royong Perdana bertempat di Sekolah Agama Rakyat Wungai Pinang , Balik Pulau sebelum pergi ke Padang Kota Lama," katanya lagi.

Laporan polis serta bahan bukti bergambar turut dilampirkan bersama kenyataan medianya.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak agar segala tindakan melampau, menyerang ceramah dan program yang dihadiri Pakatan Rakyat dihentikan serta merta.

"Rakyat semakin takut dengan Umno yang dilihat sebuah parti yang terdiri para samseng yang akan membelasah rakyat bila-bila masa sahaja jika tidak mengikuti telunjuk mereka.

"Ini amalan 'budaya samseng' yang membuktikan Umno semakin tersepit dan ditolak oleh rakyat," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: