09 Mac 2012

Kanser usus merebak ke otak

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BUKIT SELAMBAU – Linangan air mata yang mengalir membuktikan betapa kasih dan cinta seorang suami terhadap isteri kerana sanggup memberi sepenuh perhatian bagaikan menatang minyak yang penuh.

Aminah Sharif, 46, pada mulanya menghidap kanser usus tahap empat dan telah pun selamat menjalani pembedahan.

Setahun kemudian, dia disahkan mempunyai ketulan darah beku di bahagian pinggang apabila hadir menjalani rawatan susulan dan terus dimasukkan ke wad beberapa hari.

Suaminya, Mohd Yusof Darus, 63, berkata, selepas dua hari dibenarkan pulang ke rumah, tangan dan badan Aminah tidak boleh angkat, terus menjadi lumpuh dan terpaksa memanggil ambulans bagi membolehkan dia dibawa ke hospital.

“Dia memberitahu sakit kepala dan lepas menjalani ujian imbasan (x-ray) , doktor mengesahkan ada ketumbuhan dalam otaknya. Menurut pakar, sekiranya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan, doktor tidak boleh beri jaminan sama ada dia boleh sihat selepas itu atau tidak,” katanya.

Yusof berkata, walaupun sedih mendengar berita itu, namun sebagai suami dia tetap kuatkan semangat dan sentiasa berusaha mencari penawar bagi menyembuhkan isteri tersayang menggunakan rawatan tradisional.

“Saya kemudian membuat permohonan kepada pihak hospital untuk membawa dia pulang dan sedang ikhtiar menyembuhkannya dengan apa jua cara yang ada,” katanya.

Dia berkata, Aminah terlantar kira-kira dua bulan lalu dan kini menumpang di rumah mertua di Kampung Masjid, Bukit Selambau.

Rutin hariannya adalah menyuapkan makan dan minum kepada isteri, memicit tangan dan kaki ketika lenguh, menjaga kebersihan dan memastikan semua kelengkapan cukup.

Selepas pulang dari menoreh getah, katanya, tumpuan sepenuhnya adalah terhadap isteri.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah gambaran perasaan seorang suami apabila melihat isterinya tidak mampu lagi berkata-kata, tidak boleh bergerak dan hanya sekadar mengangkat tangan kanan sekiranya dia berasa lenguh dan tidak selesa.

Kakak Aminah sakit buah pinggang

Anak sulung Aminah, Mohd Yusri, 18, yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, selain ibunya yang menghidap sakit kronik, ibu saudara, Azizah, 59, dan nenek, Zainah Othman, 79, turut menghadapi masalah kesihatan.

Kesemua pesakit itu tinggal di rumah Zainah di Kampung Masjid bersama ahli keluarga lain.

Yusri berkata, Azizah yang ketika itu tiada di rumah sedang melakukan rawatan dialisis di Klinik Kesihatan Bandar, Sungai Petani dan rutin itu dilakukan Azizah setiap tiga kali seminggu.

“Ibu saudara memang perlu lakukan rawatan tu, dia dah biasa sejak menghidap sakit buah pinggang sembilan tahun lalu,” katanya.

Selain itu, Zainah apabila didekati memberitahu dia begitu gembira dengan kunjungan ziarah yang dilakukan.

Dia yang menghidap sakit tua perlu menggunakan alat bantuan berjalan di samping memerlukan sokongan ahli keluarga untuk melakukan tugasan harian.Keluarga berkenaan boleh dihubungi melalui talian 019-5466131 (Yusof).

Agency

Tiada ulasan: