09 Mac 2012

SBPA: Mulut didahulukan, flip-flop diutamakan

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Pembatalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menonjolkan sekali lagi kegagalan transformasi yang diwar-warkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan akhirnya terpaksa berbalik kepada sistem lama.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini, isu SPBA diwujudkan secara gopoh-gapah sebagai reaksi segera PM kepada janji Pakatan Rakyat (PR) dalam Buku Jingga.

Bahkan, kata Tuan Ibrahim pemerhatian umum yang dilakukan terhadap banyak perkara yang dikatakan transformasi kerajaan hanyalah berkisar di sekitar Buku Jingga PR.

“Isu penyenaraian Felda pula mengambilkira janji PR untuk memastikan hak peneroka terpelihara di semua ladang Felda. Dan lainnya, hanyalah gambaran sebenar sikap menggelabah PM dalam menghadapi janji Buku Jingga,” tambah beliau.

Banyak ‘transformasi’ yang dilakukan kerajaan pimpinan Najib, tambah Pesuruhjaya PAS Pahang itu bukanlah penyelesaian kepada masalah sebenar yang dihadapi rakyat.

“Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings, sebuah syarikat yang tiada aset selain hutang diberi amanah untuk mengambil aset Felda Plantation, Koperasi Permodalan Felda dan lain sebagai modal penyenaraian. Kini ia berhadapan dengan pelbagai bantahan peneroka Felda dan kakitangan Felda yang tidak bersetuju,” bidas beliau.

Demikian juga isu kegagalan kerajaan mengawal harga barangan pengguna, katanya, di mana akhirnya kerajaan sekadar mampu mewujudkan kedai- kedai 1Malaysia yang disubsidikan duit berjuta ringgit untuk menjual barang pada harga yang diwar-warkan lebih rendah.

“Sedangkan tugas kerajaan bukan mewujudkan kedai murah. Bayangkan pekedai lain terpaksa bersaing dengan kedai kerajaan, dan ini sangat tidak adil bagi peniaga dan rakyat yang jauh dari kedai 1 Malaysia, yang terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal.

"Ini juga membuktikan kegagalan Najib dan kerajaan sekali lagi menggunakan cara yang tidak munasabah untuk mengawal harga barangan kepada pengguna,” kata beliau.

Isu SPBA, hujahnya adalah berkait-rapat dengan janji PR kepada kakitangan awam dan skim gaji minimum yang dijanjikan dalam belanjawan alternatif 2012 PR.

Dalam flip-flop terbaru Najib ini, katanya ia adalah jelas akibat daripada sikap gopoh-gapah pentadbiran Najib tanpa perancangan teliti, kajian mendalam dan sikap mengenepikan pandangan kesatuan sekerja dan badan berkaitan.

Oleh kerana sikap gopoh-gapah, katanya, akhirnya rakyat mendapati apa yang dicadang oleh PM berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa disemak, ditarik balik dan dibatalkan.

“Akhirnya, kerajaan berhadapan bantahan umum kakitangan sehingga terpaksa menarik balik, dan kembali kepada sistem lama. Inilah transformasi 1Malaysia Najib – 'Mulut didahulukan, Flip-Flop diutamakan,' kata beliau dengan nada sinis.

Harakah Daily

Tiada ulasan: