09 Mac 2012

Siling pejabat tanah dan galian Perlis runtuh

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Siling Pejabat Tanah dan Galian Perlis di Jalan Penjara di Kangar runtuh malam tadi berikutan hujan lebat.

Kejadian itu menyebabkan sebahagian besar ruang pejabat digenangi air dan peralatan pejabat termasuk komputer dan dokumen tertentu mengalami kerosakan.

Pengerusi Jawatankuasa Tanah dan Perhutanan Perlis, Datuk Mat Rawi Kassim berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ini ketika hujan lebat.

Runtuhan dipercayai berpunca daripada masalah saluran paip di bahagian bumbung tersumbat menyebabkan air melimpah dan memasuki ruang siling pejabat sehingga mengakibatkan siling itu runtuh.

Mat Rawi ketika ditemui pemberita lewat semalam berkata kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan yang bertugas di situ dan telah memaklumkannya kepada kakitangan pejabat itu.

Katanya beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis mengambil tindakan segera membaiki segala kerosakan dan mengkaji tahap keselamatan bangunan yang berusia hampir tiga puluh tahun itu.

Kerja-kerja awal seperti pembersihan lantai bangunan dijalankan serta merta termasuk kawalan sistem elektrik sementara kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh pihak kontraktor.

"Akibat kejadian itu, sistem pendaftaran berkomputer seperti hak milik, pindah milik dan gadaian serta sistem pungutan hasil tanah diberhentikan seketika atas nasihat Bahagian Letrik JKR untuk mengelak berlaku litar pintas," kata Mat Rawi yang diiringi Pengarah tanah dan Galian Perlis, Hisan Abu Bakar.

Bagaimanapun, katanya kejadian itu hanya menyebabkan gangguan tugas pada Unit Pendaftaran kerana rangkaian komputer di situ telah terjejas manakala bahagian-bahagian lain akan beroperasi seperti biasa.

- Bernama

Tiada ulasan: