09 Mac 2012

Tiga sekeluarga terperangkap

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TAIPING – Tiga sekeluarga termasuk ibu sedang berpantang terperangkap di dalam sebuah rumah di Kampung Relang, Batu Kurau, di sini selepas terlibat dalam kejadian banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Bomba M Mahandran berkata, pihaknya menerima panggi­lan kecemasan kira-kira jam 4.54 petang sebelum tiba di kawasan kejadian pada jam 5.25 petang.

Menurutnya, sebuah jentera, dua van utiliti bomba dengan sembilan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan tiga sekeluarga yang terperangkap dalam sebuah rumah.

“Rumah itu dinaiki air setinggi 1.5 meter menyebabkan pasukan bomba bergegas ke lokasi baru di tepi Sungai Jelai.

“Setiba di lokasi, kawasan tebing sudah dilimpahi air sungai dan kelihatan seorang lelaki melambai-lambai meminta pertolongan,”katanya.

Beliau berkata, rumah itu terletak hampir 300 meter dari tepi jalan utama, empat anggota yang memakai jaket keselamatan dengan tali telah merentas aliran air deras untuk menyelmatkan mangsa berkenaan.

Katanya, seorang wanita yang berada dalam pantang lingkungan usia 20-an berjaya diselamatkan dengan memikulnya menggunakan ‘stretcher’ manakala bayi berusia 18 hari didukung oleh anggota bomba.

“Bagaimanapun, bapa bayi tersebut enggan keluar dari rumah walaupun telah dinasihatkan oleh pegawai bomba.

“Kedua-dua mangsa ditempatkan di Balai Raya Jelai atas nasihat Penghulu Batu Kurau, Mohamat Nawawi Mohamad Noor yang turut serta dalam operasi menyelamat ini,” katanya.

Tambahnya, operasi itu dibantu oleh penduduk dan Bomba Sukarela Batu Kurau sementara mangsa berjaya diselamatkan pada jam 6.05 petang.

Sinar Harian

Tiada ulasan: