09 Mac 2012

Percaturan kaki judi tidak menjadi

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BANDA HILIR - Tindakan pengusaha pusat judi berkomputer melanjutkan aktiviti selepas tengah malam kerana beranggapan polis tidak akan membuat serbuan pada masa itu, akhirnya memakan diri mereka sendiri.

Semalam, polis membuat serbuan ke atas 28 pusat perjudian berkomputer secara serentak di beberapa lokasi di negeri ini.

Dalam operasi bermula 12 tengah malam itu, seramai 80 kaki judi yang sedang leka bermain permainan judi berkomputer di 18 premis tergamam melihat anggota polis menyerbu premis berkenaan.

Hasil perancangan rapi polis, kesemua suspek, termasuk tiga warga Indonesia langsung tidak menyedari kehadiran polis.

Antara ditahan dalam operasi yang berakhir kira-kira jam 3 pagi itu adalah lima kakitangan awam peringkat pertengahan yang turut didapati leka berjudi apabila diserbu.

Turut ditahan, 18 penjaga premis, termasuk dua lelaki warga Myanmar dan seorang wanita Indonesia.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di sini untuk siasatan lanjut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Persekutuan Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, polis turut merampas 260 unit komputer dengan anggaran nilai kira-kira RM520,000 dalam operasi berkenaan.

Selain itu, katanya, turut dirampas wang tunai berjumlah lebih RM10,000.

“Operasi membabitkan kerjasama polis daerah Mela­ka Tengah dan Bukit Aman, dengan dibantu lima kontinjen lain iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

Operasi khas ini, dikenali Ops Dadu Khas, bertujuan membanteras aktiviti perjudian terutama di Bandaraya Melaka sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri membebaskan Melaka daripada aktiviti tidak sihat, terutama perjudian.

Kita menjalankan operasi ini selepas tengah malam kerana daripada risikan, kita dapati ramai penganjur dan pemain beranggapan polis tidak akan membuat operasi selepas masa itu,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: