09 Mac 2012

‘Dia sempat berpaut pada saya’

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TELOK MAS – Pengala­-man melihat rakannya hanyut selepas perahu dinaiki mereka karam, malam kelmarin mungkin menjadi pengala­-man tidak akan dilupakan oleh seorang nelayan di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam di Tanjung Nibong, dekat sini, apabila perahu dinaiki Mohd Noor Saimin, 53, dan rakannya, Mahmod Abu Samah, 64, dipukul gelombang menyebabkan kedua-duanya tercampak ke tengah laut.

Kejadian mencemaskan itu menyebabkan Mahmod yang juga seorang penoreh getah lemas sebelum mayatnya ditemui kira-kira 12 jam selepas itu menerusi operasi mencari dan menyelamat, semalam.

Mohd Noor yang terselamat dalam kejadian itu berkata, mereka berdua turun ke laut untuk memancing di Pulau Hanyut, di sini, kira-kira 6.30 petang kelmarin.

“Kami mengambil keputusan untuk pulang apabila melihat cuaca buruk dan ada tanda ribut akan melanda.

“Bagaimanapun, hujan mulai lebat menyebabkan kami menghalakan perahu ke Pulau Lalang, berhampiran Pulau Besar untuk berteduh. Kami singgah di sana kira-kira 45 minit dan sempat memancing sekejap,” katanya.

Menurutnya, mereka bergerak semula selepas menyedari hujan reda, namun ketika tiba di kawasan Umbai, ombak mulai tinggi.

“Kami kemudian ke Pulau Menatang yang terletak kira-kira setengah kilometer dari pantai untuk berlindung di pulau kecil. Kami berusaha ke muara, tetapi perahu kami mulai karam dipukul ribut,” katanya.

Mohd Noor berkata, mereka berdua berpaut di bawah perahu yang terlangkup dan sempat melihat Mahmod di belakangnya.

“Saya cuba memanggil Mahmod dan menyahut. Masa itu, saya rasakan dia berpaut memegang baju saya. Saya pula berpaut pada lunas perahu sambil memegang kolar baju Mahmod,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, rakannya itu kelihatan semakin lemah sebelum tiba-tiba hanyut dibawa gelombang.

“Dalam keadaan lemah saya berenang perlahan-lahan ke arah panggar kupang yang terletak berhampiran dan berpaut pada panggar kira-kira setengah jam.

“Selepas itu, saya ternampak kawasan berbatu dan menjerit meminta pertolo­-ngan sebelum disedari kira-kira lima lelaki di situ. Namun, mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana gelombang masih kuat.

“Saya kemudian berenang ke arah kawasan berbatu itu dengan kedalaman paras leher sebelum mereka membantu mengangkat saya dan membawa saya naik ke darat kira-kira 12.25 pagi, sebelum dibawa ke Hospital Melaka,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu melakukan operasi mencari dan menyelamat sebelum menemui mayat mangsa kira-kira 11.45 pagi semalam.

Ketua BBP Jalan Kubu, Yazid Mohd Tahir berkata, seramai 18 anggota bomba termasuk dua pegawai dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dibantu beberapa orang kampung berpecah kepada dua kumpulan memulakan pencarian sehingga ke kawasan panggar, dengan berjalan di air laut yang sudah surut.

“Operasi dihentikan 4.15 pagi sebelum disambung semula 8.30 pagi dengan bantuan anggota agensi lain iaitu polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui oleh lima anggota bomba di kawasan berhampiran perahu mangsa karam dalam keadaan tertiarap dan luka di kepala dipercayai terkena batu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: