09 Mac 2012

Optimis sekat kemaraan Gergasi Merah

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TIDAK resah meskipun kehilangan enam tonggak utama, pengendali Johor FC, K Devan sebaliknya segera memastikan persiapan rapi terutama apabila menanti kunjungan Selangor pada pusi­ngan kedua Piala FA malam esok.

Mengakui pemain prolifiknya, Khairi Kiman, Shafizan Hashim, Shahrizal Saad, Mohd Zambri Chin, Ismail Suboh dan Eddy Helmi Abdul Manan masih belum cergas sepe­nuhnya untuk bersama pasukan, Devan tetap yakin dengan barisan pemain simpanannya dan percaya mereka mampu memberi tentangan sengit kepada anak buah Irfan Bakti Abu Salim.

“Persiapan berdepan Selangor telah dilaksanakan lebih awal. Malah kehilangan beberapa pemain bukanlah alasan untuk kami menyerah sebelum berjuang.

“Saya mahu mereka manfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dengan memastikan kemenangan kerana pasukan lawan pastinya tidak akan memberi laluan mudah,” katanya.

Turut memuji peningkatan yang dilakukan oleh pasukan Selangor, bekas pengendali Gergasi Merah ini juga mengakui banyak transformasi dilakukan, lebih-lebih lagi dengan memiliki barisan pemain terbaik peringkat kebangsaan serta import berbisa seperti K Gurusamy, Norazlan Razali dan Bosko Balaban.

“Mereka bukan lagi pasukan yang mudah untuk dijinakkan memandangkan Selangor kini lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: