18 April 2012

Dua van bertembung, lelaki warga Pakistan maut

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MUAR – Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan Parit Bakar berhampiran Kampung Seri Tanjung, Bakri dekat sini, kelmarin.

Mangsa dikenali Said Kalam Shah, 42, mengalami kecederaan parah di kepala serta anggota badan lain.

Said Kalam disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hopsital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), iaitu kira-kira satu jam selepas terbabit kemalangan tersebut.

Kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, melibatkan tiga kenderaan iaitu dua van dan sebuah lori.

Mangsa memandu van bersendirian dalam perjalanan pulang selepas menghantar barang-barang ke rumah pelanggan di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori yang sarat membawa muatan benih tanaman.

Malangnya, dia gagal memotong dan menyebabkannya merempuh sebuah van di laluan bertentangan.

Akibat rempuhan itu, van yang dipandu mangsa hilang kawalan dan terbalik sehingga menyebabkan Said Kalam tersepit di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, mangsa sudah 10 tahun bermastautin di negera ini dan menjalankan perniagaan menjual karpet serta perabot di sini.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan bedah siasat dilakukan di HPSF sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: