09 April 2012

Igauan ngeri Skuad Penyu

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Misi memburu kemenangan pasukan Terengganu ketika turun menentang Selangor bertukar menjadi igauan ngeri setelah dibelasah 1-6 dalam saingan Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam kelmarin.

Bagaimanapun, kesebelasan pemain skuad Penyu itu seharusnya mengambil iktibar dan akur menerima hakikat kekalahan terbesar itu dengan hati terbuka selepas mempamerkan aksi memalukan serta tidak bermaya sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Namun bagi pengendalinya, Mat Zan Mat Aris, tiada apa yang mampu diperkatakan lagi selain reda menerima keputusan mengecewakan pasukannya itu dengan hati terbuka.

Menurutnya, kekalahan memalukan itu memang sukar diterima bukan sahaja buat dirinya selaku jurulatih, malah turut memberi tamparan hebat buat skuad kendaliannya yang turut kecewa dengan keputusan itu.

Pun begitu, Mat Zan mengakui corak permainan anak buahnya tidak konsisten terutama barisan pertahanan sehingga membuatkan pasukan tuan rumah berjaya mengambil peluang menembusi benteng pertahanan dan kekalahan itu menjadi pe­ngajaran terbaik buat pasukannya.


Mat Zan kagum usaha pemain

“Sudah pastinya saya amat kecewa dengan corak permainan yang dipamerkan terutama pada separuh masa pertama kerana apa yang dirancang tidak menjadi sekali gus menjadi punca kita dibelasah teruk.

“Saya akui kami gagal bermain dengan baik dan gagal bermain sebagai satu pasukan sehingga memberi kelebihan kepada pihak lawan untuk beraksi lebih baik berbanding kita,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mat Zan yang masih terkejut dengan persembahan hambar pasukannya itu berkata, dia tidak menyalahkan 100 peratus kepada barisan pertaha­nan dan penjaga gawang, Sarbinee Alawee melepaskan enam gol itu, sebaliknya ia kesilapan satu pasukan.

“Saya nampak barisan pertaha­nan kita tidak konsisten dan banyak melakukan kesilapan, namun saya tidak salahkan mereka kerana saya tahu mereka penat. Malah, saya kagum dengan semangat mereka kerana tetap berusaha memberikan tentangan.

“Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan kekalahan sudah menjadi lumrah. Sebagai jurulatih, saya tidak perlu panik sebaliknya berusaha memperbaiki kesalahan seterusnya bangkit pada perlawanan seterusnya,” katanya.


Lupakan kekalahan

Justeru, Mat Zan mengingatkan kepada semua penyokong bahawa kekalahan itu bukanlah petanda kepada kejatuhan prestasi Terengganu, tetapi lebih kepada kealpaan dan kegagalan pemain bermain dengan baik.

Katanya, banyak lagi perlawanan penting yang akan dihadapi selepas ini dan mengharapkan anak buahnya segera melupakan kekalahan itu serta mengambil pengajaran yang ada.

“Apa yang saya harapkan agar semangat pemain tidak luntur, sebaliknya mahu mereka segera bangkit untuk mencari sesuatu yang positif selepas ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: