09 April 2012

Nyaris maut dihempap pokok

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BESUT - Lima beranak nyaris maut apabila sebatang pokok kelapa menghempap rumah mereka dalam kejadian hujan lebat dekat Kuala Besut pada jam 8 pagi kelmarin.

Mangsa, Maziah Muda, 50, berkata, ketika kejadian dia sedang berada di dalam bilik air di bahagian dapur apabila hujan lebat berserta angin menyebabkan pokok kelapa tua yang berada lebih kurang 20 meter dari rumahnya tumbang menimpa bahagian bilik tidur dan dapur.

Menurutnya, ketika kejadian empat lagi ahli keluarganya berada di ruang tamu rumah menonton televisyen iaitu suaminya, Ismail Sulaiman, 56, dan seorang anak serta dua cucu berumur enam dan tujuh tahun.

“Jantung saya bagai hendak gugur apabila dikejutkan dengan bunyi kuat pokok yang tumbang menghempap bahagian bilik tersebut,” katanya.

Maziah berkata, sebaik kejadian suaminya bergegas menyelamatkan anak dan cucunya kerana bimbang bahagian bumbung rumah runtuh.

Menurutnya, secara kebetulan pokok itu tumbang ke atas dinding bilik yang dibina dengan batu bata menyebabkan tiada kerosakan teruk berlaku.

“Jika pokok tersebut tumbang ke arah ruang tamu yang terletak bersebelahan bilik itu, saya pun tidak tahu apa yang akan berlaku terhadap mereka berikutan bahagian dindingnya diperbuat daripada kayu,” katanya yang bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.

Menurutnya, kejadian itu kali pertama berlaku ke atas keluarganya dan ia menakutkan kerana bunyinya amat kuat sehingga didengari sejauh hampir 300 meter apabila ramai jiran pergi ke rumahnya untuk memberi bantuan.

Agency

Tiada ulasan: