09 April 2012

Mawar semakin positif, dibenar balik

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Setelah seminggu berada di wad, adik Mawar Nur Farisya Farid Alsuwad, 2, sudah dibenarkan pulang ke rumah, hari ini.

Ibunya Sahida Ramli, 29, berkata, keadaan Mawar beransur pulih dan tidak menga­lami sebarang komplikasi sejak pembedahan selesai.

“Alhamdulillah, Mawar menunjukkan tanda-tanda positif. Doktor pakar, jururawat dan semua kakitangan di sini memberikan perkhidmatan terbaik buat anak saya. Kalau sebelum ini, saya sedih melihat keadaannya. Kini, saya dan keluarga semangat untuk menjaganya dan melihat tumbesarannya seperti kanak-kanak yang lain.

“Dulu, saya begitu risau melihat Mawar, tetapi setelah selesai pembedahan dan melihat sendiri keadaannya, saya amat bersyukur. Lagi pula, dibenarkan pulang hari ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, selepas menjalani ujian imbasan terhadap jantung anak bongsunya semalam, doktor memberitahu keadaannya semakin stabil dengan jantung menunjukkan perkembangan positif.

“Sejak semalam, Mawar tidak lagi menerima bantuan tiub untuk makan dan minum. Dia juga semakin aktif dan sudah boleh makan dan minum seperti biasa.

“Saya sangat berterima kasih kepada akhbar Sinar Harian yang selama ini banyak membantu memberi maklumat mengenai tahap kesihatan anak saya.

“Kepada yang sudi menghulurkan sumbangan­ dan mereka yang mendoakan kesihatan­ anak saya, hanya ucapan­ terima kasih dapat saya berikan serta berharap semua pihak akan terus mendoakan kesihatan anak saya,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penderitaan adik Mawar yang menghidap penyakit jantung berlubang dan injap tersumbat memerlukan kos pembedahan iaitu RM40,000.

Segala derita itu berakhir banyak pihak menghulurkan sumbangan termasuk Yayasan Sultan Kelantan yang membiayai kos keseluruhan pembedahan tersebut yang dijalankan di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Pembedahan hampir lima jam itu dilakukan dengan jayanya oleh doktor pakar, Dr Lee Weng Seng.

Sinar Harian

Tiada ulasan: