09 April 2012

Logo 1Malaysia bukan jaminan tidak diseludup keluar

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 April: Logo 1Malaysia yang dilekatkan pada bungkusan gula dan tepung bukan jaminan bahawa dua barangan keperluan tersebut tidak akan diseludup keluar dari negara ini.

Walaupun dilekatkan logo berkenaan, rakyat tahu barangan tersebut merupakan barangan yang disubsidikan kerajaan, dan masih boleh diseludup jika mahu.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar), menegaskan logo 1Malaysia yang diletakkan pada bungkusan plastik gula dan tepung gandum masih boleh diseludup sekiranya pihak yang tidak bertanggungjawab mengoyak palstik berkenaan dan menggantikannya dengan yang lain.

"Tiada jaminan yang mengatakan logo tersebut tidak akan mencegah penyeludupan. Mereka masih boleh menukarkan bungkusan dan menyeludup keluar. Lagipun, kerja mencegah penyeludupan ini kerja Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP)," tegas Firdaus ketika ditemui di luar Dewan Rakyat, pagi ini.

Terdahulu, ketika sesi soal jawab lisan, Firdaus meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK), menyatakan rasional mengapa barangan seperti gula dan tepung gandum diletakkan logo 1Malaysia.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri, Datuk Rohani Abdul Karim berkata langkah meletakkan logo tersebut bagi mencegah berlakunya penyeludupan barangan tersebut ke negara luar.

Sementara itu, Firdaus turut mencabar kerajaan agar menurunkan harga barangan di seluruh kedai di negara ini, termasuk di kedai runcit berbanding mewujudkan kedai 1Malaysia yang didakwa kos pengubahsuaiannya sebanyak RM60,000.

Katanya, bagi seseorang yang ingin mengusahakan Kedai 1 Malaysia, mereka memerlukan RM60,000 yang boleh diperoleh dari pinjaman Bank Rakyat.

Kos tersebut, tambah Firdaus tidak membabitkan kos membawa masuk barangan dan pengangkutan yang dibimbangi mereka tidak mampu bersaing dengan pihak peniaga lain.

Harakah Daily

Tiada ulasan: