09 April 2012

Ops 6P tahan 67 warga asing

17 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI - Seramai 67 warga asing ditahan dalam Ops 6P yang dijalankan secara bersepadu dengan beberapa agensi lain di sebuah pasar raya petang semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kedah, Amir Mansor berkata, 67 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk gagal menunjukkan sebarang dokumen ketika diperiksa.

Beliau berkata, kesemuanya dibawa ke Pejabat Imigresen Alor Setar untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk yang tidak mempamerkan sebarang dokumen perjalanan ketika diminta berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ini merupakan operasi kedua oleh jabatan berkenaan selepas di Alor Setar kelmarin.

“Kita adakan operasi sempena tarikh akhir pemutihan 6P Selasa ini (10 April). Namun apa yang dapat dilihat ada antaranya masih gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan pemutihan,” katanya.

Amir berkata, sepatutnya proses pemutihan berada di peringkat terakhir kerana hanya tinggal dua hari sebelum tempohnya berakhir.

“Seramai 248 warga asing diperiksa namun 67 didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Jika dokumen perjalanan mereka dalam simpanan pihak tertentu atau majikan, mereka boleh berurusan di pejabat Imigresen di Anak Bukit untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi bersepadu 64 anggota terdiri daripada kakitangan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah itu bermula jam 2 petang dan berakhir 4.30 petang semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: