23 April 2012

Pokok petai ragut nyawa

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

NILAI – “Ayah berpengalaman berpuluh tahun panjat pokok petai, tak pernah terjatuh dan inilah antara sumber pendapatannya untuk ­menam­pung perbelanjaan keluarga tetapi tak sangka pokok petai jugalah yang meragut nyawanya.”

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, semalam, mangsa, Saari Mahmud, 62, maut selepas terjatuh daripada ketinggian enam meter ketika memanjat pokok petai di kawasan kebun di Jalan Lenggeng, di sini.

Mayatnya ditemui terbaring bawah pokok petai oleh orang awam bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memanjat dan memetik buah petai, antaranya tangga serta galah.

Anak mangsa, Riduan, 31, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah dan dimaklumkan mengenai insiden itu oleh seorang rakannya.

“Saya segera ke lokasi kejadian dan hanya ­dapat melihat jasad ayah terbaring kaku di ­bawah sebatang pokok petai.

“Ayah adalah peniaga dan sering mencari ­hasil kebun termasuklah buah-buahan untuk dijual di pasar malam. Tidak sangka kejadian ini menimpa ayah,” katanya.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa keluar dari rumahnya di Kampung Sungai Bioh pada awal pagi dengan menaiki sebuah motosikal untuk memanjat pokok petai yang terletak di satu kawasan kebun kira-kira satu kilometer dari jalan raya.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Ayu Kamarudin 35, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan bapa saudaranya itu adalah tiga hari lalu.

“Bapa saudara saya tidak menunjukkan apa-apa perubahan tetapi dua minggu sebelum ini, ketika menghadiri pertemuan dengan tujuh adik-beradiknya, dia ada mengambil kesempatan berpelukan dengan mereka selepas selesai majlis berkenaan.

“Jarang bapa saudara saya berbuat ­demikian apabila bertemu dengan adik-beradiknya ­sebelum ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Yusoff Awang pula berkata, kejadian berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: