23 April 2012

Isu ponteng perlu dipandang serius

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BERA – Sejauh mana isu ponteng sekolah di daerah ini dipandang serius komuniti memandangkan masih ada kes penglibatan pelajar dengan aktiviti gejala sosial seperti merokok, dadah mahupun gejala maksiat dilakukan pada waktu sekolah.

Walaupun laporan statistik dikeluarkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menunjukkan penurunan 0.46 peratus isu ponteng sekolah di seluruh negeri ini pada tahun lalu, namun ia tidak seharusnya dipandang ringan pihak berkenaan terutamanya pihak sekolah, ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), Md Shabudin Wok berkata, aktiviti ponteng sekolah ini bukan sahaja menyebabkan pelajar terlibat ini tidak akan mendapat pendidikan sempurna malah boleh membawa mereka terjerumus dalam gejala seperti penagihan dadah.

Menurutnya, ada di kalangan pelajar sekolah terlibat dengan najis dadah sanggup ponteng sekolah untuk melepaskan gian.

“Walaupun ada di kalangan mereka yang mendapat didikan cukup daripada ibu bapa tetapi pengaruh rakan sebaya membolehkan mereka berubah.

“Hanya kerana mahu melepaskan gian, mereka sanggup ponteng sekolah sedangkan pada waktu paginya, mereka lengkap berpakaian seragam sekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Md Shabudin berkata, selalunya mereka akan menukar pakaian selepas keluar dari rumah dan berjumpa rakan sebaya di kawasan yang dijanjikan bagi mengelak mereka dicekup.

Katanya, antara sasaran mereka ialah kawasan ladang, rumah tinggal atau pun bandar berdekatan asalkan kawasan itu jauh dari orang yang mereka kenali.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kanak-kanak Daerah, Muhammad Amin Sardi berkata, golongan remaja adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan apa yang berlaku di persekitaran mereka.

Katanya, sikap ingin mencuba pada awalnya, berubah menjadi lebih serius apabila ada di kalangan mereka yang mula terasa tercabar melihat kehebatan rakan sebaya yang lebih berani melanggar peraturan sekolah.

“Mereka ini memang pantang dicabar. Tetapi sayang, mereka hanya berani sahut cabaran yang ke arah negatif sahaja.

“Untuk bertindak ponteng sekolah bagi mereka itu hanya perkara kecil kerana mereka lebih bijak memboloskan diri menerusi pintu rahsia yang dicipta mereka,” katanya.

Menurutnya, aktiviti ponteng sekolah ini sebenarnya lebih memberikan imej negatif bukan sahaja kepada mereka tetapi kepada pihak sekolah dan ibu bapa terbabit.

Sinar Harian

Tiada ulasan: