23 April 2012

Wanita pekerja pusat urut dakwa dipukul polis

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang pekerja wanita berusia 42 tahun di sebuah pusat urut di Taman Rakyat, mendakwa dipukul sekumpulan anggota polis sewaktu ditahan ketika serbuan di premis berkenaan 14 April lalu.

Lay Suet Peng mendakwa dipukul di bahagian kepala dan belakang menyebabkannya terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, beberapa anggota polis termasuk seorang wanita datang melakukan pemeriksaan dan menahan saya serta seorang lagi pekerja setelah mendapati pusat urut itu tidak berlesen.

“Saya baru dua bulan bekerja di kedai urut refleksologi ini dan difahamkan ia mempunyai lesen dan pemiliknya sedang dalam proses menukar nama premis perniagaan ini,” katanya.

Menurutnya, sewaktu dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, dia cuba melarikan diri setelah curiga kerana semua anggota berpakaian biasa sewaktu serbuan malah hanya seorang yang menunjukkan kad kuasa polis.

“Sewaktu bergelut untuk lari, saya tertepis mulut seorang anggota polis, luka sikit. Kemudian mereka gari saya, dipukul dan dimaki ketika berada di dalam kenderaan polis. Saya dibebaskan kira-kira lima jam selepas ditahan.

“Saya tidak puas hati dengan tindakan itu dan membuat laporan di IPD Kota Setar 19 April lalu agar tindakan sewajarnya diambil terhadap anggota berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi Sinar Harian, berkata, polis akan menyiasat dakwaan wanita berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke IPD Kota Setar, wanita itu bertindak agresif dan menyebabkan kecederaan­ terhadap dua anggota termasuk seorang anggota wanita yang mengandung.

“Kita akan menyiasat laporan yang dibuatnya. Malah kita akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan terhadap wanita itu kerana bertindak agresif dan menghalang tugas polis,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: