23 April 2012

Kami rindukan adik, pulanglah...

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH – Kehidupan pasangan suami isteri, Syed Daud Syed Ibrahim dan Jamilah Nordin dihantui kebimbangan apabila anak mereka, Sharifah Norazmira, 16, tidak pulang ke rumah sejak dua minggu lalu.

Syed Daud 52, yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Perhutanan dan tinggal di kuarters kerajaan dekat Seberang Temerloh berkata, anaknya itu dilaporkan hilang sejak 9 April lalu ketika dia dan isteri menghantar anak kedua keluar bekerja di bandar ini.

Menurutnya, ketika itu Norazmira atau mesra dipanggil ‘adik’ tinggal bersama datuk dan neneknya yang kebetulan berada di rumah.

“Hari itu, dia mengadu sakit perut dan tidak ke sekolah walaupun pada mulanya semua kelengkapan sudah disediakan termasuk wang belanja RM3.

“Saya keluar hampir jam 10 pagi untuk menghantar anak kedua, Sharifah Norazmida bekerja. Dalam tempoh setengah jam sahaja, Norazmira keluar sehelai sepinggang tanpa disedari datuk dan neneknya,” katanya, semalam.

Syed Daud berkata, selepas menyedari kehilangan anaknya itu, dia dan isteri segera membuat laporan polis, namun sehingga hari ini masih tiada petunjuk di mana anaknya berada.

Menurutnya, Norazmira tidak pernah berkelakuan pelik seperti itu kerana dia seorang pemalu dan jarang keluar rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga.

“Pertama kali dia bertindak seperti ini membuatkan kami sekeluarga runsing mengenangkan nasibnya sekarang.

“Pada mulanya, kami sekeluarga mencari menerusi kawan-kawannya termasuk rakan sekelas di Sekolah Menengah Telok Sentang. Namun, mereka tidak tahu ke mana dia pergi membuatkan kami sekeluarga buntu,” katanya.

Syed Daud berkata, dia juga menggunakan khidmat lebih 10 pengamal perubatan Islam hingga ke Negeri Sembilan untuk mengetahui lokasi sebenar adik berada.

Menurutnya, keluarganya sering melakukan solat hajat dan menggunakan pelbagai ikhtiar lain untuk bertemu semula dengan adik.

“Akibat musibah ini, kehidupan kami sekeluarga tidak terurus hingga menyebabkan prestasi kerja saya merosot,” katanya.

Syed Daud berkata, dia merayu mana-mana pihak memaklumkan kepada dia atau polis jika tahu di mana anaknya berada.

“Saya juga merayu jika ada sesiapa mengambil anak saya, tolonglah pulangkan. Saya berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas mereka. Saya bersedia berbincang kerana kami sekeluarga terlalu merindui adik,” katanya.

Menurutnya, pihak yang mengetahui di mana anaknya atau mempunyai sebarang petunjuk berkaitan boleh menghubungi talian 0119941736 atau 0179736930.

Sinar Harian

Tiada ulasan: