23 April 2012

Sorok dadah dalam kotak minuman terbongkar

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh berdepan huku­man­ mati mandatori setelah taktiknya menyorokkan dadah jenis heroin di dalam kotak minuman terbongkar pada 10 April lalu.

Tertuduh, Fairuz Ghadafi Zam-Zam, 32, dari Kampung Banggol Durian, Jalan Kubang Bujuk, di sini, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, mengedar dadah jenis heroin seberat 50.30 gram (berat kasar) pada 10 April lalu kira-kira jam 3 pagi di tepi jalan KM49, Kota
Bharu, Kampung Sungai Bari, Sungai Tong, Setiu.

Bagaimanapun, Fairuz Ghadafi hanya mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dibacakan di hada­pan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rosila Nik.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan. Rosila menetapkan 5 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda.

Sebelum ini, tertuduh berjaya diberkas bersama barang kes iaitu tujuh botol serbuk dadah jenis heroin oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dalam satu Rondaan Cegah Jenayah.

Tertuduh ketika itu sedang berehat di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipercayai milik adiknya dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Kuala Terengganu.

Siasatan awal mendapati tertuduh menjalankan kegiatan menjual dadah sejak dua tahun lalu dengan mendapatkan beka­lan­ dadah itu dari negara jiran iaitu Thailand.

Tertuduh yang turut positif dadah jenis methamphetamine dan morphin semasa ditahan juga pernah meringkuk di penjara selama lima tahun sebelum ini serta turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau termasuk jenayah dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: