30 Mei 2012

Dadah dalam lampu suluh

9 Rejab 1433H. [MOD] -

DUNGUN – Tidak serik. Itulah yang digambarkan sifat seorang anak tauke ikan yang masih menjadi pengedar dadah biarpun pernah empat kali ditahan polis.

Kali ini, dia menjadikan rumah rakannya yang sudah berkeluarga sebagai transit aktiviti menjual dadah untuk mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun tindakan liciknya berjaya dihidu polis dan satu serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya petang kelmarin.

Hasil serbuan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah itu, suspek berusia 31 tahun itu ditahan berikutan penemuan 50 butir pil kemerahan disyaki dadah jenis methampethamine yang disembunyikan dalam lampu suluh, dipercayai miliknya.

Suspek yang berasal dari Gong Pasir sebelum ini pernah ditahan empat kali kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah termasuk kesalahan memiliki dan mengambil dadah.

Dadah yang dirampas dalam serbuan terbabit dipercayai bakal dijual kepada penagih berdekatan dan daripada sumber diperoleh, suspek dikatakan antara dalang yang aktif membekalkan dadah di kawasan berdekatan.

Turut ditahan dalam serbuan berkenaan termasuk rakannya yang didapati positif dadah methampethamine selepas ujian saringan air kencing dilakukan.

Suspek yang merupakan anak lelaki kepada seorang tauke ikan di Dungun itu kini ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) manakala rakannya disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: