30 Mei 2012

Memori pilu 28 Mei

9 Rejab 1433H. [MOD] -

LIPIS - “Mak, abah...Kak Ngah nak pergi jauh. Lepas ini Kak Ngah dah tak sakit lagi,” demikian kata-kata terakhir Allahyarhamah Nur Fadhilah Anuar atau lebih mesra dipanggil Kak Ngah, 11 tahun yang lumpuh separuh badan selepas terjatuh dari sofa.

Menurut ibu arwah, Nor Shamsiah Che Pah, 35, anaknya menghembuskan nafas terakhir di rumah kira-kira jam 7.45 malam, Isnin lalu.

“Kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin (Ahad), Kak Ngah dilihat tidak bermaya lalu saya bersama suami, Anuar Mohamed, 38, membawanya ke Klinik Kesihatan Felda Sungai Koyan untuk pemeriksaan.

“Namun pada jam 3 pagi, pihak klinik mengesyorkan kami membawa Kak Ngah ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Nor Shamsiah berkata, ketika di Hospital Lipis, doktor meminta kebenaran untuk menebuk dan mencuci buah pinggang Nur Fadhilah.

“Bagaimanapun, pihak hospital tidak dapat memberi jaminan Kak Ngah akan sihat seperti biasa. Saya bersama suami sepakat untuk tidak membenarkan pembedahan itu dijalankan.

“Kira-kira jam 8 pagi, kami membawa Kak Ngah pulang ke rumah dan membacakan surah Yasin. Namun menjelang petang Kak Ngah sudah nazak sebelum meninggal dunia kira-kira jam 7.45 malam,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, tarikh 28 Mei memberi makna yang besar buat mereka sekeluarga kerana pada tarikh itu juga arwah jatuh dari sofa dan lumpuh separuh badan.

“28 Mei 2008, Kak Ngah jatuh dari sofa hingga mengakibatkan dia lumpuh separuh badan. Kini pada tarikh 28 Mei 2012, Kak Ngah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di samping ahli keluarga terdekat.

“Genap lima tahun Kak Ngah tidak mampu berjalan dan melakukan aktiviti seperti kanak-kanak seusianya yang lain.

Walaupun begitu, sepanjang lima tahun arwah sakit saya sudah menjaganya sebaik mungkin dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Penderitaan Nur Fadhilah pernah disiarkan Sinar Harian kelmarin mengenai harapan keluarganya untuk membawanya ke hospital pakar bagi mendapatkan rawatan.

Harapan itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila Nur Fadhilah pergi menghadap Ilahi pada hari sama kisahnya tersiar di akhbar ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: