30 Mei 2012

Adam Akbar tunggu keputusan panel pakar

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Perbincangan 101 panel pakar dilantik untuk menyiasat kes Adam Akbar Ali, 10 , menghidap penyakit tumor saraf tunjang, memberi harapan kepada keluarganya bahawa Adam masih ada peluang menerima rawatan terbaik.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, kebanyakan panel dilantik merupakan pakar neurologi dari beberapa hospital seluruh negara telah mengadakan pemeriksaan fizikal dan berbincang langkah terbaik yang boleh diambil untuk mengurangkan penderitaan Adam.

Bagaimanapun, keputusan terhadap perbincangan mengenai Adam belum diperoleh dan beliau berharap ia akan memberikan berita gembira kepada mereka sekeluarga.

“Sebagai seorang bapa, saya sentiasa berdoa Adam kembali ceria dan menjalani kehidupan biasa seperti kanak- kanak lain. Kini keadaan Adam semakin stabil walaupun kepalanya masih ke kiri setelah menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mula-mula dikejarkan ke HKL pada Sabtu lepas, keadaan Adam kritikal iaitu sukar bernafas dan kepalanya ke kiri menyebabkan beliau tidak berhenti menangis kerana kesakitan di bahagian leher dan anggota badan sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, beliau berharap Adam tidak akan lagi diserang sukar bernafas kerana mereka sekeluarga tidak sanggup melihat kesakitan yang ditanggung Adam.

“Alhamdulillah, Adam sudah boleh bergerak seperti biasa dan kini bersama saudara-mara isteri saya di Cheras yang datang untuk melawat beliau sempena cuti sekolah,” katanya.

Akbar berharap keputusan perbincangan panel pakar itu akan memberikan pembaharuan yang positif dan tahap kesihatan Adam akan bertambah baik.

“Saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia akan melakukan sesuatu untuk membantu Adam apabila mendapat laporan siasatan Adam.

“Saya tidak mampu kerana kekangan kewangan, tetapi saya cuba untuk memberikan rawatan terbaik kepada Adam dan kini saya berusaha mencukupkan dana yang diperlukan untuk membiayai pembedahan Adam iaitu RM175,00 ,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat mengurangkan kos pembedahan Adam memberikan kekuatan kepada keluarganya dan mereka sentiasa berdoa pembedahan dapat dijalankan dengan segera.

“Saya bersyukur dan jutaan terima kasih kepada penderma kepada Adam kerana jumlah yang terkumpul semakin meningkat kepada RM46,317. Saya berharap ia akan meningkat untuk membantu meringankan penderitaan Adam yang menderita sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank (5121010 54830) dan Bank Islam (12038025182964).

Sinar Harian

Tiada ulasan: