30 Mei 2012

Sindiket curi lori terbongkar

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Sindiket curi lori yang terlibat lebih 100 kes di Lembah Klang, melibatkan kerugian jutaan ringgit, disekat dalam serbuan di sebuah kilang haram di Jalan Kuala Kangsar, Simpang Empat, Taiping, Perak, baru-baru ini.

Kegiatan kumpulan ini terbongkar selepas seorang mangsa, mengekori penjenayah yang melarikan lorinya dari Taman Rawang, Gombak ke kilang terbabit, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa menyedari enjin lorinya dihidupkan dan terus memaklumkan kejadian tersebut kepada polis.

Beliau berkata, penjenayah meninggalkan lori tiga tan jenis Isuzu itu berhampiran kilang haram terbabit.

Thaiveegan berkata, polis kemudiannya menahan tiga lelaki yang datang untuk mengambil lori berkenaan.

Katanya, suspek membawa polis ke kilang itu dan seorang lagi lelaki warga Bangladesh yang sedang meleraikan komponen lori ditahan.

“Pemeriksaan menemui 16 kereta, 27 lori, 65 pintu lori, 400 pintu kenderaan pelbagai jenis, 80 tangki minyak lori dan 12 bonet kereta.

“Komponen kenderaan ini dipercayai akan dipasarkan semula di dalam dan luar negara pada harga murah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Beliau berkata, siasatan mempercayai kumpulan ini aktif sejak enam bulan lalu.

Suspek ditahan reman sehingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Sementara itu katanya, beliau ti-dak menolak kemungkinan sindiket ini mempunyai kaitan dengan sindiket sama yang ditumpaskan barubaru ini.

“Lokasi kilang ini hanya enam kilometer dari gudang simpanan lori curi di Kampung Air Putih. Kita akan siasat penglibatan suspek dalam kes tersebut,” katanya.

Februari lalu, polis menemui 1,101 enjin lori, 1,040 pintu lori, 102 enjin kereta, 128 buah kenderaan keluaran tempatan, 30 kepala lori, tiga buah lori, tiga bahagian hadapan kereta dan beberapa unit kunci lori.

Sinar Harian

Tiada ulasan: